SEBAHAGIAN peladang muda bersama Ahmad Shabery.
SEBAHAGIAN peladang muda bersama Ahmad Shabery.
Mohamad Hussin

Seramai 911 peladang muda di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menerima insentif Projek Estet Padi Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) Projek Penggerak Ekonomi (EPP) 10.

Ia membabitkan peruntukan RM2.4 juta bagi keluasan 1,976.2 hektar perusahaan industri padi Musim 1/2018.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, hasil bancian MADA, seramai 6,184 peladang muda berusia bawah 40 tahun bergiat aktif di dalam Kawasan Muda.

Beliau berkata, ia petunjuk positif kebangkitan anak muda dalam menyahut seruan dan cabaran Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) dalam menceburi bidang pertanian.

“Kita sedia maklum kebanyakan peladang ini dalam kalangan mereka yang berusia lebih 60 tahun.

“Kementerian ada menyediakan pelbagai peluang dan kemudahan bagi menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian.

“Ia bagi menarik golongan muda supaya bergiat aktif dalam bidang pertanian yang boleh menjana pendapatan lumayan,” katanya.

SEORANG peladang muda menerima replika cek.
SEORANG peladang muda menerima replika cek.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Santai bersama Peladang Muda MADA dan Penduduk Kubang Rotan di Kampung Masjid, Kubang Rotan, Alor Setar, Kedah, baru-baru ini.

Turut hadir, Pengurus Besar MADA Datuk Fouzi Ali. Seramai 300 peladang muda turut hadir termasuk Kelab Jelapang Padi.

Ahmad Shabery berkata, Projek Estet Padi NKEA EPP 10 memberi fokus dalam pengukuhan produktiviti tanaman padi di Kawasan Muda dengan sasaran keluasan 50,000 hektar menjelang 2020.

“Ia bertujuan menggalakkan penanaman padi berskala komersial dengan sasaran purata hasil bersih lapan tan sehektar.

“Selain itu, ia meningkatkan kepadatan infrastruktur ladang daripada 18 meter sehektar kepada 30 meter sehektar dan meningkatkan pembabitan peladang dalam keseluruhan rantaian nilai,” katanya.

Menurutnya, MOA menyasarkan golongan muda yang membabitkan diri dalam sektor agromakanan memperoleh pendapatan RM5,000 sebulan.

“Ia melalui pelbagai program seperti Unit Agropreneur Muda, Kumpulan Peladang Muda dan MyAgrosis,” katanya.

AHMAD Shabery dan Fouzi (tiga dari kanan) beramah mesra bersama peladang muda.
AHMAD Shabery dan Fouzi (tiga dari kanan) beramah mesra bersama peladang muda.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 11:44 AM