OTHMAN memukul gong tanda perasmian.
OTHMAN memukul gong tanda perasmian.
PENYELIA projek membantu PPK menyelia kerja dilaksanakan di peringkat ladang.
PENYELIA projek membantu PPK menyelia kerja dilaksanakan di peringkat ladang.
RUANG pameran disediakan untuk orang ramai.
RUANG pameran disediakan untuk orang ramai.
PESERTA melawat gerai pameran.
PESERTA melawat gerai pameran.
Oleh Mohamad Hussin


Meningkatkan pengeluaran padi antara projek impak tinggi yang tersenarai dalam Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi (NKEA) bagi menambah daya saing negara di peringkat global serta meningkatkan pendapatan negara.

Justeru, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bertekad meningkatkan taraf hidup peladang dan menjadi agensi kerajaan yang cekap, efisien dan dihormati masyarakat.

Projek Estet Padi NKEA Projek Penggerak Ekonomi (EPP) 10 sebagai contoh dilaksanakan di Kawasan Muda selaras dengan hasrat kerajaan di bawah Program Transformasi Ekonomi.

Terdapat tiga isu utama yang akan ditangani melalui pelaksanaan projek berkenaan iaitu kepadatan infrastruktur yang rendah (18 meter sehektar), peladang yang berusia (60 tahun) dan saiz ladang tidak ekonomik (2.12 hektar).

Seramai 457 penyelia projek dilantik dengan purata kawasan seliaan 44.32 hektar seorang. Secara majoriti penyelia projek berusia antara 40 hingga 59 tahun (56 peratus) iaitu membabitkan seramai 257 orang dan hanya 10 peratus (44 orang) penyelia projek berusia antara 20 hingga 39 tahun.

Pengerusi MADA Datuk Othman Aziz berkata, kejayaan agensi itu terletak pada kerjasama dan komitmen pegawai dan penyelia projek yang bekerja keras.

“Kerajaan meletakkan sasaran melakukan tranformasi dalam bidang pertanian. Semua peruntukan dan keperluan disediakan, cuma mengharapkan kerjasama semua pihak membantu menjayakan matlamat berkenaan.

“Kita melaksanakan Projek Estet Padi NKEA EPP 10 di mana sehingga musim 1/2015 sudah mencapai 392 projek membabitkan 11,608 peserta dengan keluasan mencapai 20,297 hektar.

“Peranan penyelia projek sangat penting kerana mereka umpama ketua pekerja di setiap projek dan bertanggungjawab membantu Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) menyelia kerja yang dilaksanakan di peringkat ladang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Memperkasakan Penyelia Estet Padi NKEA EPP 10 di Alor Setar, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara tugas utama penyelia projek ialah mengenal pasti dan melapor keperluan dan masalah di peringkat ladang dan memastikan aktiviti ladang dilaksana berdasarkan perancangan Jadual Aktiviti Tanaman (JAT) yang ditetapkan serta dijalankan secara berpusat.

“Membantu PPK dalam memastikan pembekal perkhidmatan yang dilantik PPK melaksanakan kerja ladang mengikut spesifikasi yang ditetapkan serta membantu PPK mempromosi penambahan keluasan Projek Estet Padi NKEA EPP 10 sedia ada.

“Semua penyelia projek perlu bersama-sama meningkatkan hasil dan kualiti pengeluaran padi supaya sasaran 100 peratus tahap sara diri negara (SSL) dapat dicapai menjelang tahun 2020.

“Kita juga perlu mengamalkan Amalan Pertanian Baik (GAP) dan menggunakan kaedah pengurusan ladang yang moden dan efisien,” katanya.

Othman berkata, MADA sedang menyediakan kadar bersesuaian bagi insentif tambahan kepada penyelia projek supaya ia dapat dilaksanakan secara seragam oleh 27 PPK MADA.

“Apa yang dilakukan semuanya bertujuan ke arah peningkatan hasil padi dan meningkatkan pendapatan peladang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2015 @ 10:37 AM