Amir Abd Hamid


Ampang: Kira-kira 100 peniaga dan penjaja Pasar Tani Taman Keramat AU2, di sini, berada dalam dilema berikutan ura-ura tapak perniagaan itu dikatakan akan dipindah ke lokasi lain.

Pengerusinya, Fatimah Abdul Rashid berkata, keadaan jalan di lokasi baru yang berbukit dan curam akan menyukarkan peniaga serta pengunjung kelak.

Justeru, katanya, peniaga dan penjaja pasar tani di bawah seliaan Lembaga Pemasaran Pertanian dan Persekutuan (Fama) itu meminta supaya lokasi perniagaan yang sudah lapan tahun beroperasi dikekalkan di tapak berkenaan.

"Kita ada dapat berita daripada Fama dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga beritahu tapak sedia ada ini kena pindahkan ke lokasi baru, yang kita dapati jalannya berbukit.

"Jalannya tak berapa cantik, agak curam. Penduduk di sana (cadangan tapak lokasi baru) juga tidak berpuas hati sebab tapak ini dicadangkan untuk dipindahkan ke sana.

"Jadi peniaga rasa tak selesa, penduduk di sana pun tak selesa tapak perniagaan ini nak dipindahkan. Justeru kita memohon kepada DBKL supaya kekalkan tapak pasar tani ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas program walkabout menyantuni pengunjung dan peniaga Pasar Tani Taman Keramat AU2 oleh calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kelang, Juwairiya Zulkifli.

Juwairiya turut ditemani Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang juga Naib Presiden Umno dan Bendahari Agung BN.

Sementara itu, Juwairiya berkata, perbincangan lanjut dengan DBKL dan Fama perlu dilaksanakan supaya kebajikan peniaga dan penjaja itu terbela.

"Saya mendengar isu di tapak Pasar Tani Taman Keramat AU2 daripada penjaja dan peniaga pasar tani ini.

"Isu pemindahan semula sebenarnya ini tapak yang kedua. Disebabkan faktor pembangunan di sekitar, ada kemungkinan mereka dipindahkan. Jadi ini kita memerlukan perbincangan lanjut dengan DBKL dan Fama supaya kebajikan mereka terjaga.

"Sekiranya dipindahkan, lokasi perlu strategik dan membolehkan pelanggan mudah datang sekali gus tidak menjejaskan peniaga," katanya.

Beliau juga dimaklumkan terdapat bantahan daripada penduduk di kawasan baru yang bakal dipindahkan dan oleh sebab itu perlu dilihat daripada kedua-dua aspek supaya tiada pihak teraniaya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Ogos 2023 @ 12:44 PM
JOHARI (dua dari kiri) dan Juwairiya (kiri) beramah mesra bersama peniaga di Pasar Tani Taman Keramat AU2. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
JOHARI (dua dari kiri) dan Juwairiya (kiri) beramah mesra bersama peniaga di Pasar Tani Taman Keramat AU2. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali