Nurul Fhatihah Zakinan


LEMBAGA Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan RM2.5 juta tahun ini menerusi penyertaan lebih 6,800 pemasar melalui platform jualan hasil pertanian dalam talian, Agrobazar Online (ABO).

Ketua Pengarahnya, Ahmad Ishak berkata, setakat ini terdapat 4,820 pemasar dengan 11,800 pilihan produk seperti agromakanan, bahan industri asas tani, bunga dan benih dalam talian dengan catatan hasil jualan RM2 juta tahun lalu.

“Urus niaga di ABO menunjukkan peningkatan apabila kebanyakan pengguna khususnya di Lembah Klang lebih cenderung menggunakan konsep urus niaga dalam talian dengan sistem penghantaran ke rumah.

“Jadi kita mahu memperluaskan lagi medium ini sebagai saluran alternatif namun perlu menjalankan proses penilaian (screening) ke atas produk terlebih dulu supaya dapat bersedia dan memenuhi tuntutan eksport dalam talian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke tapak FAMA Fest Wilayah Selatan 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh hari ini.

Ia dirasmikan Penasihat Undang-undang Melaka, Datuk Mohamad Abazafree Abbas mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari.

Program lima hari membabitkan 115 usahawan dengan 1,456 produk dari tiga negeri iaitu Melaka, Johor dan Negeri Sembilan itu mensasarkan nilai jualan RM300,000 dan ia berakhir Isnin ini.

Sementara itu, Ahmad berkata, FAMA memberi jaminan bekalan bekalan barangan keperluan sepanjang Ramadan sehingga sambutan Aidilfitri mencukupi.

“FAMA sudah bersedia dari segi bekalan produk seperti daging, ayam, sayuran dan buah-buahan lebih awal.

“Barangan keperluan ini boleh didapati di 2,755 outlet menerusi program Jimat Belanja Dapur Ramadan dan Aidilfitri.

“Jika bekalan tidak cukup, kita import dan boleh didapati di outlet seperti Agrobazar Rakyat, MyBest Buy, Agrobazar Kedai Rakyat dan pasar tani selain pasar awam sedia ada sebagai pilihan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2019 @ 9:25 PM