Badruddin (dua kiri) melihat pelbagai sayur-sayuran yang dijual sempena Karnival Khas Pra Syawal di Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) Jalan Kuala Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Badruddin (dua kiri) melihat pelbagai sayur-sayuran yang dijual sempena Karnival Khas Pra Syawal di Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) Jalan Kuala Kedah. FOTO Sharul Hafiz Zam
Norul Awatif Romli


Alor Setar: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melancarkan Karnival Khas Pra Syawal dengan potongan harga istimewa antara lima hingga 20 peratus berbanding harga runcit bagi keseluruhan 73 jenis barangan keperluan menjelang Aidilfitri, mulai semalam hingga Selasa depan.

Pengerusinya Tan Sri Badruddin Amiruldin berkata, program yang akan dijalankan di 274 cawangan Pasar Komuniti dan Karavan (PAKAR) di seluruh negara itu menawarkan penjimatan harga bagi pelbagai jenis sayuran, buah-buahan, daging, ikan dan lain-lain kepada pengguna.

Katanya, program itu dijalankan bagi memberi peluang kepada pengguna mendapatkan bekalan secara mudah pada harga berpatutan dan munasabah.

"Ini adalah konsep kerajaan untuk memastikan setiap rakyat dapat menyambut hari kebesaran umat Islam dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran dengan tidak membebankan kos sara hidup mereka," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Karnival Khas Pra Syawal di PAKAR Kuala Kedah, di sini, hari ini.

Menurutnya, penganjuran program itu adalah serampang dua mata kerana selain membantu usahawan terbabit memasarkan produk menerusi FAMA, ia sekali gus mengangkat supaya golongan ini mampu menjadi pengimport berjaya suatu masa nanti.

"Justeru, kita mencadangkan petani di kampung supaya bermuafakat dengan melantik seorang ketua membawa hasil ke pasar tani untuk dijual bagi memastikan mereka memperoleh harga lumayan kerana penggunaan orang tengah hanya boleh mengurangkan keuntungan," katanya.

Pada masa sama, beliau menggalakkan golongan belia supaya mendekati FAMA termasuk mendapatkan maklumat terkini mengenai program dianjurkan sebagai usaha membantu golongan itu berjaya dalam bidang keusahawanan.

"Seperti di bidang lain mereka juga perlu memulakan sesuatu dari bawah secara kecil-kecilan, tapi lebih baik jika berniaga di outlet yang kita sediakan kerana FAMA boleh bantu mempromosikan dan memasarkan produk keluaran mereka, malah hingga ke pasaran luar negara," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Julai 2016 @ 3:41 PM