BARISAN wakil kluster lembu tenusu.
BARISAN wakil kluster lembu tenusu.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Isu yang dibangkitkan kumpulan penternak lembu tenusu ini mungkin besar impaknya kepada negara.

Jika tidak dipantau atau dipandang serius, ada kemungkinan ramai terpaksa gulung tikar.

Usaha kerajaan mewujudkan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di bawah projek permulaan (EPP) 13 sangat positif.

Menerusi progam EPP 13 ini, ramai kluster lembu tenusu diwujudkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Kesannya, banyak syarikat peneraju diperlukan untuk kluster tenusu yang terdiri daripada penternak dan koperasi.

Peneraju mendapatkan peruntukan daripada kerajaan untuk membeli lembu dan peralatan bagi meningkatkan pengeluaran dan mutu susu penternak di bawah seliaan.

Program EPP 13 ini merancakkkan pengeluaran lembu tenusu negara hing­ga berkembang pesat. Di sebalik kesan positif itu, terselit isu pahit yang terpaksa didepani kluster lembu tenusu negara. Lambakan susu segar daripada negara jiran sejak kebelakangan ini membimbangkan industri.

Persoalannya, mampukah penternak tempatan bersaing dengan industri tenusu negara jiran? Bagi peneraju, mereka terpaksa mengehadkan pembelian susu segar dari ladang jika perkara ini berlaku. Puncanya, produk tenusu terdapat di pasar raya tidak laku dan pembelian dihadkan.

Bertempat di NS Dairy Farm Sdn Bhd, kumpulan kluster tenusu itu mencari solusi mengenai isu lambakan tenusu dari Indonesia. Pertemuan itu dihadiri 68 kluster yang diwakili dari Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Pertemuan dikoordinatorkan Pengarah Operasi The Holstein Milk Company Sdn Bhd, Azmi Zainal. Turut sama, Pengerusi Bertindak Bagi Isu Susu Import Untuk 68 Kluster Tenusu di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, Datuk Mohd Nor Abd Wahid.

Susulan daripada pertemuan itu, satu memorandum ditandatangani wakil kluster lembu tenusu untuk diserahkan kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail ­Sabri Yaakob.

Mohd Nor berkata, pertemuan itu bagi mencari penyelesaian berhubung isu lambakan susu segar dari negara jiran yang me­ngancam industri tenusu negara.

"Walaupun wujud zon perdagangan bebas dalam kala­ngan negara anggota ASEAN kami mahu industri susu dijaga," katanya.

Mohd Nor berkata, kluster lembu tenusu sangat berterima kasih kepada kerajaan.

"Banyak insentif diperoleh di bawah EPP13 seperti bekalan lembu dan alat pemanas. Namun, kami berharap kerajaan memantau aktiviti import susu kerana lambakan susu import dari Indonesia merencatkan industri tenusu tempatan," katanya.

Industri lembu tenusu negara katanya, menyumbang kepada konsep 'tiga dalam satu'.

"Bukan saja me­ngeluarkan susu, tetapi mengeluarkan baka jantan dan betina.

"Lembu jantan boleh buat fidlot. Kalau kita bangunkan ini (industri tenusu) kita tidak perlu import dari luar negara dan sekali­gus menyelamatkan pengaliran wang negara," katanya.

Azmi berkata, industri tenusu negara semakin stabil dengan harga di ladang meningkat daripada RM1.35 seliter pada 2011 berkembang kepada RM2.40 sen seliter.

"Apa terjadi, kos pengeluaran di Indonesia berbeza dengan kita.

"Harga ditawarkan kepada petani RM1.70 dan RM1.80 seliter," katanya.

Jika itu berlaku kata­nya, syarikat peneraju tidak mampu bertahan dan beralih operasi ke negara itu.

"Apabila tidak boleh dijual dan 'return' dipasar raya serta pengilang, pembelian susu dikurangkan kerana terdapat lebihan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 November 2014 @ 5:01 AM