TAMPAK lasak dan menarik.
TAMPAK lasak dan menarik.
Erywan Norshal


Motor Image Malaysia Sdn Bhd, pengedar eksklusif kenderaan Subaru memperluaskan rangkaian kenderaan pemasangan tempatan (CKD) menerusi model Subaru Forester 2016.

Sehingga kini Motor Image Malaysia mempunyai dua model CKD kenderaan utiliti sukan (SUV) menerusi XV dan Forester yang dipasang kilang Tan Chong Segambut, Kuala Lumpur.

Subaru Forester CKD yang dilancarkan itu adalah model dipertingkatkan dengan dua varian 2.0i dan 2.0i-P. Selain itu, satu lagi adalah varian Forester 2.0XT yang lebih berkuasa diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun.

Ketiga-tiga model dipertingkatkan itu hadir dengan imej baharu iaitu padanan jeriji heksagon, lampu belakang bentuk ‘C’ serta padanan rim menarik.

Ruang dalamannya tampak lebih bergaya selepas menggunakan skrin TFT LCD berwarna serta rekaan stereng baharu.

Bagaimanapun, varian tertinggi 2.0i-P dan 2.0XT dilengkapi ciri lebih banyak seperti pengilap cermin automatik, pintu but berkuasa serta kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

Pada masa sama, pintu kedua-dua model itu menggunakan sistem akses kod PIN bagi memudahkan penggunanya sekiranya kunci hilang atau rosak.

Selain imej dan ciri baharu, Subaru Forester menggunakan sistem suspensi dipertingkat­kan untuk keselesaan serta pengendalian lebih maksimum.

Subaru Forester CKD berkongsi enjin sama FB20 Boxer 2.0 liter DOHC dengan menghamburkan 150PS pada 6,200rpm dan tork setinggi 198Nm pada 4,200rpm.

Enjin yang menggunakan blok lebih ringan dengan lejang panjang itu menawarkan penjimatan minyak 7.9 liter bagi setiap 100 kilometer.

Varian import menerusi 2.0XT dengan enjin boxer FA20 2.0 liter dengan pengecas turbo membolehkan menjana 241PS pada 5,600rpm dengan tork 350Nm.

Namun, kedua-dua enjin itu berkongsi transmisi CVT yang dijanakan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive (S-AWD).

Ciri keselamatannya boleh dianggap terbaik selepas dilengkapi tujuh beg udara, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) dan Bantuan Mula Mendaki.

Subaru Forester ditawarkan dengan lima pilihan warna dengan dijual pada harga 2.0i (RM144,948); 2.0i-P (RM154,488) dan 2.0XT (RM211,729).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mei 2016 @ 5:11 AM