FORESTER serba baharu dengan ciri EyeSight. FOTO Salhani Ibrahim.
FORESTER serba baharu dengan ciri EyeSight. FOTO Salhani Ibrahim.
Lizam Ridzuan

LEBIH lasak dan selamat adalah ciri utama Subaru Forester serba baharu dengan empat teras Teknologi Subaru Core iaitu Pemanduan Pacuan Semua Roda (AWD) Simetri, Enjin Boxer, Platform Global Subaru dan EyeSight.

Dilancarkan baru-baru ini menerusi model generasi kelima diimport sepenuhnya dari Thailand, dilengkapi ciri keselamatan termaju dibina sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV) saiz pertengahan yang lasak serta sesuai untuk gaya urban.

Menawarkan enjin 2.0 liter Boxer pacuan semua roda (AWD) Simetri dan kotak gear Transmisi Boleh Ubah Berterusan (CVT) baharu tujuh kelajuan dengan mod manual serta ciri lain seperti X-Mode andai laluan mencabar dengan fungsi Kawalan Menuruni Bukit.

BAHAGIAN belakang sporty dengan ruang lebih luas. FOTO Salhani Ibrahim.
BAHAGIAN belakang sporty dengan ruang lebih luas. FOTO Salhani Ibrahim.

Subaru Forester juga hadir dengan ruang kargo lebih luas selepas ditambah 251 liter menjadikannya 1,775 liter dan jarak rodanya juga dipanjangkan 30 milimeter (mm) daripada generasi terdahulu, melebihkan ruang kaki penumpang sebanyak 33mm.

Pengerusi dan Pengarah Urusan Tan Chong International Limited, Glenn Tan berkata, teknologi EyeSight yang diperkenalkan adalah sistem pintar dengan ciri bantu pemandu seperti Brek Pra-Pelanggaran (PCB), Pengendalian Pendikit Pra-Pelanggaran dan Amaran Keluar Lorong.

Ia juga dilengkapi Amaran Tersasar Lorong, Kawalan Pelayaran Adaptif (ACC) dan Amaran Kenderaan Hadapan bagi merendahkan risiko kemalangan.

RUANG dalaman rekaan terkini. FOTO Salhani Ibrahim.
RUANG dalaman rekaan terkini. FOTO Salhani Ibrahim.

“Forester serba baharu yang dibina atas Platform Global Subaru adalah lebih besar selain menggabungkan empat elemen Teknologi Subaru Core yang lebih selesa dan menyeronokkan pemandu serta penumpang, selain teknologi bantu pemandu EyeSight untuk perjalanan lebih selamat serta kurang tekanan,” katanya.

Subaru Forester serba baharu dibawa dalam tiga varian dan dijual pada harga RM139,788 (Subaru Forester 2.0i-L), RM149,788 (Subaru Forester 2.0i-S) dan RM159,788 (Subaru Forester 2.0i-S EyeSight).

BAHAGIAN penumpang selesa. FOTO Salhani Ibrahim.
BAHAGIAN penumpang selesa. FOTO Salhani Ibrahim.

Pada pelancaran pusat pameran Subaru di Petaling Jaya, Selangor, ia dinyatakan sebagai premis pertama diubah suai dengan menerapkan elemen teknologi dan gaya hidup agar pengalaman lebih menarik buat pelanggan, malah konsep berkenaan akan diperluaskan ke cawangan lain secara berperingkat.

Antara ciri diketengahkan ialah teknologi Augmented Reality (AR) dan Realiti Maya (VR) yang membolehkan pelanggan memilih warna dan kemasan serta melihat pemandangan 360 darjah luaran serta dalaman kenderaan.

RIM baharu 18 inci untuk varian S. FOTO Salhani Ibrahim.
RIM baharu 18 inci untuk varian S. FOTO Salhani Ibrahim.

Disediakan juga ‘Subaru Loves Children & Babies Forest’ yang juga bilik khas dengan tema pengembaraan hutan belantara untuk keluarga dan anak-anak bermain sementara pelanggan menunggu kenderaan diservis.

TC Subaru Sdn Bhd selaku pengedar utama kenderaan jenama Subaru di negara ini merancang membuka empat lagi ruang pameran baharu jenama itu sebelum penghujung tahun ini, menjadikan jumlah keseluruhan 45 lokasi. #vroomHM.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 September 2019 @ 6:30 AM