Oleh Lizam Ridzuan
lizamridzuan@hmetro.com.my


BUAT segelintir individu, pemilihan kenderaan utiliti sukan (SUV) bukan sekadar untuk mobiliti malah bagi diselarikan dengan gaya hidup dan aktiviti hujung minggu.

Sesuai dengan reka bentuk diketengahkan, Subaru Forester Serba Baharu ini antara yang memiliki kelebihan tersendiri termasuk rekaan yang menampilkan gaya lasak dan aktif.

Ia dilancarkan di Malaysia pada Ogos 2019. Saiznya sedikit besar terutama dengan jarak roda 30 milimeter (mm) lebih panjang daripada generasi terdahulu bagi keselesaan kepada penumpang.

GAYA sporty SUV maskulin.
GAYA sporty SUV maskulin.

Vroom berpeluang memandu uji Forester 2.0i-S EyeSight GT Edition dan ia adalah varian terkini yang diperkenalkan pada Jun lalu dengan tawaran beberapa kemasan luaran dan dalaman lebih menarik.

Ia direka oleh bekas Ketua Pereka Subaru Corporation, Masahiko 'Jack' Kobayashi yang bertanggungjawab dalam penghasilan lebih 12 model termasuk WRX STI dengan kerjasama rapat Giken Co Ltd, sebuah syarikat kejuruteraan terkenal di Jepun.

Sebagai varian tertinggi daripada empat model Forester di negara ini, antara pembaharuan yang diberi ialah tambahan pada bahagian lapisan bawah bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan spoiler bumbung yang menyerlahkan gaya sporty.

EDISI GT untuk tampil menawan.
EDISI GT untuk tampil menawan.

Selain itu, rim aloi 18 inci 'bespoke' menjadikan bentuk keseluruhannya tampil lebih menawan dan pada masa sama kekal gaya maskulin serta ranggi.

Turut tersedia ialah rel bumbung, lampu hadapan LED dengan pelaras tahap ketinggian automatik serta lampu kabus hadapan dan belakang.

Menjengah ke ruang dalaman Forester GT Edition, antara yang berbeza ialah Sistem Paparan Audio Panasonic bersaiz lapan inci dengan fungsi ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

Juga dengan tempat duduk kulit khas larasan elektrik lapan posisi padanan tiga tona warna diinspirasikan daripada kabin model 'grand tourer' prestasi Eropah tampil selesa dan menarik.

Untuk ciri keselamatan, ia dilengkapi sistem paparan kawasan sekitar 360 darjah bagi kemudahan parkir atau melalui kawasan yang sempit.

Penulis menggemari ruang dalaman yang ditawarkan kerana ia selesa, luas dan praktikal bagi disesuaikan dengan keperluan terutama pada but dengan kapasiti 520 liter.

Untuk lebih kapasiti, kerusi belakang dengan jatuhan 60:40 memberikan tambahan luas 1,775 liter.

RUANG dalaman elegan.
RUANG dalaman elegan.

Dua zon pendingin udara, sistem Bluetooth, kemasukan tanpa kunci, brek parkir elektronik, pengecas USB untuk penumpang dan pintu kargo belakang kuasa elektrik dengan fungsi memori antara ciri yang ada pada model ini.

Subaru Forester dilengkapi enjin 1,995cc suntikan terus bahan api DOHC pacuan semua roda (AWD) yang menghamburkan kuasa kuda 156 PS pada 6,000rpm dan tork 196Nm pada 4,000rpm.

Sebagai enjin boxer, ia menawarkan ketangkasan enjin dan lebih responsif serta keseimbangan terbaik daripada segi pengendalian, prestasi dan penggunaan bahan api.

ENJIN boxer 2.0 liter.
ENJIN boxer 2.0 liter.

Elemen istimewa X-Mode boleh disesuaikan ketika melalui jalan lasak dan tidak berturap dengan kelebihan kelegaan tanah sekitar 220 milimeter (mm).

Pemanduan di jalan raya juga lancar melalui tukar gear Lineartronic CVT, ditambah dengan suspensi MacPherson dan 'Double Wishbone' bagi keselesaan dan stabil ketika mengambil selekoh.

Melalui Subaru Intelligent Drive (SI-Drive), ia menukar tahap responsif dan tork enjin bagi disesuaikan dengan corak pemanduan sama ada mahukan prestasi atau ekonomi.

Ciri paling penting pada model ini sudah pasti ialah Teknologi Bantu Pemandu EyeSight untuk tiga ciri penting keselamatan yang diutamakan.

Terdiri daripada Pengurusan Pendikit dan Brek Pra-Pelanggaran, Amaran Pelepasan dan 'Sway' Laluan, Kawalan Pelayaran Adiptif dan Amaran Mula Kenderaan Hadapan.

JARAK roda lebih panjang untuk keselesaan.
JARAK roda lebih panjang untuk keselesaan.

Secara keseluruhan, penulis berpendapat ini adalah SUV segmen C yang khusus buat mereka yang mahukan ciri sebenar pada kenderaan sebegini.

Ruang dalam luas dan praktikal, enjin boxer untuk pretasi dan pengendalian lebih stabil serta jarak kelegaan tanah yang ideal bagi memasuki laluan lasak.

Selain itu, dengan ciri-ciri keselamatan dan teknologi yang disertakan, ia juga sesuai bagi seisi keluarga untuk ke mana-mana destinasi pilihan.

Ia dilengkapi Pengesan Titik Buta, Bantu Brek, Brek Override, Isofix, Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Sistem Pedal Keselamatan, Isyarat Henti Kecemasan, Brek Anti-Kunci (ABS) empat saluran, Tork Vektor Aktif dan tujuh beg udara SRS.

Satu tangki penuh bahan api 63 liter membolehkan ia bergerak sejauh lebih 450 kilometer (km), bergantung kepada corak pemanduan dan muatan.

Pencucuh soket pada bahagian kargo dan butang penurun kerusi belakang adalah elemen kemudahan yang disediakan terutama jika melakukan aktiviti riadah atau berkhemah untuk mendapatkan punca kuasa serta keperluan lain.

Untuk pasaran Malaysia, tujuh pilihan warna ditawarkan dan Subaru Forester 2.0i-S EyeSight GT Edition ini dijual pada harga RM177,788 dengan jaminan lima tahun atau 100,000km, yang mana lebih dahulu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2020 @ 6:30 AM
KAPASITI kargo 520 liter.
KAPASITI kargo 520 liter.