SUBARU XV dengan warna Oren Sunshine.
SUBARU XV dengan warna Oren Sunshine.
Lizam Ridzuan


Sebagai kenderaan utiliti sukan (SUV), Subaru XV mempunyai karakter tersendiri menjadikannya jentera sesuai untuk yang berjiwa aktif.

Rekaan ranggi dengan kemampuan off-road sederhana adalah pilihan terbaik kepada golongan ‘Weekend Warriors’ sebagai kenderaan ideal bagi memenuhi keperluan aktiviti mereka.

Subaru XV serba baharu diperkenalkan ke pasaran tempatan hujung tahun lalu adalah model kedua dibangun berlandaskan Platform Global Subaru yang menawarkan casis dilengkapi dengan pengendalian dan keselesaan terbaik.

Rekaan luarannya dipadankan ciri maskulin dan sporty dengan rekaan lampu hadapan berkonsepkan ‘mata helang’ serta lampu nyalaan siang (DRL).

Dilengkapi sistem Lampu Hadapan Responsif Stereng, ia menyinar dan menyuluh mengikut arah putaran roda stereng memberi sudut pencahayaan lebih jelas pada waktu malam.

Rel bumbung disediakan bagi memudahkan pemilik membawa barangan berkaitan aktiviti luar seperti basikal atau kayak selain rim aloi 17 inci menyerlahkan gaya model ini.

 TAMPIL sporty pada bahagian belakang.
TAMPIL sporty pada bahagian belakang.

Rekaan kerangka kombinasi dapra berwarna hitam pada bahagian bampar hadapan dan belakang, lengkungan roda ‘arch wheels’ serta spoiler belakang menjadikan sporty.

Cermin sisi dengan lampu membelok LED, serta lampu kabus belakang menambah elemen keselamatan pada kenderaan ini terutama ketika memandu dalam cuaca hujan atau gelap.

Menjengah ruang dalaman dengan padanan warna hitam untuk material papan pemuka dan kemasan logam serta komposit pada beberapa bahagian menyerlahkan ciri elegan Subaru XV.

Paparan pelbagai fungsi pada skrin LCD sesentuh bersaiz 6.3 inci untuk sistem hiburan, pandu arah, ketersambungan telefon dan kamera undur memudahkan pemandu melihat sebarang halangan pada bahagian belakang.

 REKAAN ranggi dan aktif.
REKAAN ranggi dan aktif.

Tambahan meter bersaiz 4.2 inci untuk pilihan pelbagai maklumat berkaitan kenderaan seperti jumlah dan jarak penggunaan bahan api, suhu dan mod-X bagi panduan ketika melalui jalan lasak.

Tempat duduk gabungan material kulit dan fabrik Charcoal dengan bahagian pemandu larasan elektrik selesa sepanjang perjalanan dan pada bahagian penumpang belakang dengan unjuran kaki selesa.

Supaya ruang lebih fleksibel, tempat duduk belakang boleh direbahkan bagi memberi nisbah ruang 60:40 bagi kemudahan membawa pelbagai barangan dan ruang kargo pula menawarkan ruang 340 liter.

Ruang dalaman dipertingkatkan bagi menambah keselesaan dengan rekaan kerangka 20 milimeter (mm) lebih lebar dan panjang ditambah 15 mm daripada model sebelumnya, menawarkan keselesaan maksimum untuk penumpang dewasa.

 RUANG dalaman elegan.
RUANG dalaman elegan.

Selain itu untuk menambah keselesaan, penyaman udara dua zon, enam tempat meletak botol air dan perehat tangan untuk penumpang belakang antara yang terdapat pada model XV ini.

Nadi paling utama untuk Subaru ialah enjin ‘boxer’ mendatar yang terdapat padanya menawarkan bukan sahaja prestasi malahan kemantapan pada kestabilan.

Dikuasakan dengan 1,995cc DOHC, ia mampu menjana 156 PS pada 6,000 rpm dan daya kilas 196 Nm pada 4,000 rpm dengan transmisi Linertronic AWD tujuh kelajuan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 190 kilometer sejam (km/j).

Kelebihan enjin sebegini ialah ia mempertingkatkan kestabilan pada pelbagai kelajuan dengan kedudukan graviti rendah serta mengurangkan getaran ketara pada kenderaan.

Pacuan Semua-Roda (AWD) memberi kelebihan penguasaannya untuk pelbagai jenis permukaan jalan dengan sistem Lineartronic dan Pemisah Tork Aktif.

Ia akan membahagikan daya kilas sebanyak 60 peratus pada bahagian hadapan dan 40 peratus belakang serta dilaras mencapai keseimbangan 50/50 untuk tindak balas cengkaman terbaik mengikut kesesuaian.

AWD yang dilengkapi pada model ini juga menawarkan pemanduan lebih responsif di jalan raya serta keupayaan melalui laluan lasak atau off-road dengan mod-X berbanding pesaingnya yang lain.

BAHAGIAN penumpang selesa dan fleksibel.
BAHAGIAN penumpang selesa dan fleksibel.

Suspensi hadapan daripada MacPherson Strut dan belakang dengan Double Wishbone menjadikan keseluruhan perjalanan lebih selesa dengan fungsi menyerap segala gegaran dan redaman dengan sempurna.

Secara keseluruhan, Subaru XV bukan sahaja jentera aktif dan berprestasi malah menjanjikan penjimatan bahan api terbaik dengan satu isian penuh tangki 63 liter mampu mencapai lebih 600 kilometer (km).

Ia juga didatangkan dengan sistem keselamatan terkini seperti Brek Anti-Kunci (ABS) empat saluran, ISOFIX, Bantu Brek, Active Torque Vectoring, Sistem Pedal Keselamatan, tujuh beg udara SRS, Sistem Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) dan banyak lagi.

Untuk memasuki laluan lasak mod-X dengan sistem Kawalan Menuruni Bukit membolehkannya bergerak dalam keadaan selamat serta memudahkan kawalan untuk pemandu.

Jarak kelegaan bumi 220 mm memberi kelebihan untuk melepasi laluan lasak dengan baik bagi kelancaran perjalanan.

Kawalan dan pengendalian terbaik, ruang dalaman fleksibel serta reka bentuk yang ranggi menjadikan ia sesuai untuk pemanduan harian atau berekreasi pada hujung minggu.

Untuk pasaran tempatan, dua varian ditawarkan iaitu XV 2.0i dijual pada harga RM127,788 dan XV 2.0i-P pada RM134,788 dengan waranti lima tahun pengeluar atau 100,000 km yang mana lebih dahulu.

Tujuh pilihan warna ditawarkan iaitu Putih Pure, Perak Ais Metalik, Kelabu Gelap Metalik, Hitam Silica Crystal, Kelabu Khaki Cool, Biru Mutiara Gelap dan Oren Sunshine.

KOTAK gear 7 kelajuan.
KOTAK gear 7 kelajuan.

SPESIFIKASI

Subaru XV

Enjin: 1,995 cc DOHC, suntikan terus.

Kuasa maksimum: 156 PS pada 6,000 rpm

Tork maksimum: 196 Nm pada 4,000 rpm

Kapasiti tangki petrol: 63 liter.

Ciri keselamatan: Tujuh beg udara, ABS, ISOFIX, BA, ATV, Sistem Pedal Keselamatan, VDC.

Harga: RM134,788

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 4:30 AM