DUA peserta wanita menunjukkan pingat sebagai tanda berjaya menamatkan larian.
DUA peserta wanita menunjukkan pingat sebagai tanda berjaya menamatkan larian.
KEHADIRAN adiwira ‘Batman’ ’berlari bersama peserta.
KEHADIRAN adiwira ‘Batman’ ’berlari bersama peserta.
PESERTA teruja untuk memulakan larian.
PESERTA teruja untuk memulakan larian.
Fatin Farhana Japre


Lain daripada yang lain. Itu jangkaan penulis apabila PinkApple (Malaysia) Sdn Bhd membawa kelainan menganjurkan acara larian bertemakan adiwira Batman V Superman 2016 di Padang Merbok, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Julung kali diadakan, seramai 3,300 peserta majoritinya remaja dan berbilang kaum menyertai acara larian bagi dua kategori berbeza iaitu lima dan 10 kilometer (km). Peserta juga boleh memilih ‘team’ adiwira kegemaran mereka sama ada Batman atau Superman bagi memeriahkan lagi acara.

Seawal 6 pagi lagi, peserta sudah bersiap sedia menanti di garisan permulaan sambil bersenam meregangkan otot sebelum memulakan larian.

Peserta bagi kategori 10km dilepaskan pada jam 6.45 pagi manakala kategori 5km pada 7.30 pagi. Penulis berpeluang turut serta bagi kategori lima km dan sejurus kami dilepaskan dari garisan permulaan kemeriahan acara ini mula terasa apatah lagi wujudnya dua ‘team’ adiwira yang berbeza sepanjang trek larian.

Sepanjang larian dua km pertama, penulis sangka larian ini sekadar larian biasa dan santai. Namun penulis akui tersilap apabila kelihatan beberapa pelari lengkap berpakaian adiwira Batman dan Superman cergas berlari menamatkan larian.

Ini membuktikan kebanyakan peserta memang peminat adiwira Batman dan Superman. Malah sanggup berlari berpakaian seperti adiwira kegemaran mereka tanpa menghiraukan pandangan negatif orang lain.

Pelbagai gelagat peserta yang dilihat penulis seperti memakai kostum penuh dan topeng adiwira Batman, berpakaian ala watak Supergirl dalam filem Superman, bahkan ada yang berpakaian Superman tapi mengenakan ‘skirt’ pendek berwarna merah jambu! Kehadiran adiwira Batman yang turut serta berlari bersama peserta memeriahkan suasana.

Peserta, Ahmad Khairee Ahmad Julaihi, 29, berkata ini kali pertama dia menyertai aktiviti larian bertemakan adiwira dan dia sangat teruja untuk sampai ke garisan penamat.

“Bagi larian ini, saya menyertai kategori 10 kilometer dan memilih ‘team’ Batman. Saya memang peminat dan pengumpul figura Batman sejak kecil dan disebabkan itu saya berpakaian dan memakai topeng seperti Batman.

“Walaupun pada awalnya saya tidak selesa dengan pandangan peserta lain namun apabila melihat ada beberapa peserta turut berpakaian seperti adiwira kegemaran mereka, saya rasa teruja dan bangga untuk sampai ke garisan penamat.

“Secara keseluruhan, acara ini sangat menarik dan memberi kelainan bagi remaja seperti saya. Namun pada masa akan datang, penganjur mungkin boleh memilih lokasi yang strategik dan trek lebih besar untuk keselesaan peserta,” katanya.

Pengarah Larian Batman V Superman 2016 James Koh berkata acara ini antara yang ditunggu-tunggu peminat adiwira dan mereka yang sangat meminati aktiviti larian.

“Acara larian ini sangat istimewa kerana kita berjaya menghimpunkan 3,300 peserta dan kebanyakan mereka memang peminat adiwira Batman dan Superman. Peserta bukan saja menyertai larian ini kerana ia mempunyai tema malah ada yang sanggup berhias dan memakai pakaian seperti adiwira kegemaran masing-masing demi memberi kelainan bagi acara kali ini.

“Selain itu, ia mengeratkan hubungan antara peserta sama ada yang datang secara individu mahu pun berkumpulan,” katanya.

Selepas tamat larian, peserta berpeluang menyertai pelbagai aktiviti yang disediakan pihak penganjur di tapak karnival seperti lawan gusti, ‘bungee run’, ‘gladiator’ dan membeli kemeja-T adiwira kegemaran mereka.

Setiap peserta yang berjaya tiba di garisan penamat mendapat snek dan pingat sebagai tanda kejayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 September 2016 @ 10:37 AM