BELACAN Pulau Aman yang siap diproses.
BELACAN Pulau Aman yang siap diproses.
UDANG geragau dikeringkan seharian bagi proses membuat belacan.
UDANG geragau dikeringkan seharian bagi proses membuat belacan.
MD Noor menunjukkan produk jenama Belacan Pulau Aman.
MD Noor menunjukkan produk jenama Belacan Pulau Aman.
Zuhainy Zulkiffli


Pulau Aman antara gugusan pulau kecil di Pulau Pinang makin berkembang sebagai pusat pelancongan.

Mempunyai 50 rumah dengan 252 penduduk, pulau yang alam sekitarnya masih terpelihara ini turut terkenal dengan pelbagai produk hasil laut.

Bagaimanapun, dalam kalangan penduduk di utara Semenanjung, Pulau Aman lebih dikenali dengan produk belacan kering dan keropok sukun.

Bagi pengusaha produk Belacan Pulau Aman, Md Noor Harun, 61, industri itu yang diusahakan di rumah kini memasuki pasaran Kedah, Perak dan Kuala Lumpur sejak beberapa tahun lalu.

Bekas kontraktor itu berkata, udang geragau yang digunakan bagi membuat belacan diperoleh daripada penduduk yang kebanyakannya bekerja sebagai nelayan, malah ada kalanya dia sendiri turun ke laut mencari udang berkenaan.

Katanya, dia memerlukan kira-kira 200 kilogram udang setiap kali menjalankan proses membuat belacan. Udang berkenaan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dicampur garam.

“Udang itu kemudian dijemur untuk dikeringkan dan diangkat serta ditumbuk separuh hancur sebelum diperap semalaman. Perapan itu kemudian dijemur sekali lagi supaya kering sepenuhnya. Pada waktu petang, udang berkenaan perlu ditumbuk dan dimampatkan hingga menjadi belacan.

“Belacan kami menggunakan cahaya matahari sepenuhnya ketika dikeringkan dan baunya tidak kuat berbanding belacan basah yang terdapat di pasaran.

“Prosesnya boleh berlanjutan antara tiga hingga empat hari bergantung kepada cuaca. Jika udang cepat kering, tempoh proses itu menjadi lebih singkat,” katanya.

Md Noor berkata, belacan yang sudah siap akan dibungkus dan dilabel sebelum dijual pada harga RM5 bagi setiap 300 gram.

Bagaimanapun, katanya, cuaca panas El-Nino yang melanda negara sejak Februari lalu menyebabkan pendapatannya terjejas berikutan sukar mendapatkan bekalan udang.

“Cuaca panas memang bagus untuk memproses belacan, tetapi udang geragau pula sukar didapati. Mujur saya ada jualan produk hasil laut lain bagi menampung pendapatan.

“Produk lain yang dihasilkan saya ialah pelbagai jenis ikan, udang dan sotong kering selain ikan bilis,” katanya.

Antara pengalaman manis tidak dapat dilupakan Md Noor sepanjang mengusahakan perniagaan belacan ialah pernah beberapa kali dikunjungi wakil media dari dalam dan luar negara bagi merakamkan proses membuat belacan.

Baru-baru ini, dia dikunjungi rombongan siri televisyen antarabangsa, BBC TV bersama chef terkenal dari London Rachael Khoo yang menjalankan pengambaran bagi program masakannya di Pulau Aman.

Md Noor berkata, selain melihat proses membuat belacan di rumahnya, rombongan itu turut merasai hidangan tempatan yang dimasak bersama belacan.

“Ia pengalaman lucu kami apabila saya dan isteri buntu memikirkan hidangan sesuai kerana beranggapan ‘orang putih’ tak makan pedas.

“Namun selepas menjamu selera, barulah mereka tahu ‘penangan’ belacan dalam hidangan tempatan yang boleh membangkitkan selera terutama sambal belacan,” katanya.

Md Noor mengakui bantuan daripada pelbagai agensi turut membantu peniaga kecil sepertinya membangunkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) di kampung berkenaan.

Katanya, dia sudah empat kali mendapat pinjaman daripada TEKUN Nasional (TEKUN) sejak 12 tahun lalu berjumlah RM12,000. Selain dijadikan modal membeli udang, wang berkenaan digunakan untuk mengusahakan produk hasil laut lain.

Pulau Aman kira-kira 16 kilometer dari tanah besar Seberang Perai dan lapan kilometer dari Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (Jambatan Kedua).

Pengunjung dikenakan tambang RM6 seorang bagi perjalanan pergi dan balik dengan menaiki bot di Jeti Batu Musang, Batu Kawan, seawal jam 8 pagi hingga 7 malam.

Terdapat dua bot digunakan bagi mengangkut penumpang dengan perjalananan antara 10 hingga 15 minit dan lebih kerap pada Sabtu dan Ahad berikutan ramai pengunjung pada hari berkenaan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2016 @ 5:20 AM