KETAM cili yang menyelerakan. - Gambar hiasan
KETAM cili yang menyelerakan. - Gambar hiasan
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Kuala Selangor dan Sekinchan, Selangor bukan sahaja terkenal sebagai lokasi ekopelancongan menarik untuk seisi keluarga malah ia juga popular dengan pelbagai destinasi untuk menjamu selera.

Sesuai dengan kedudukan geografinya yang terletak berhampiran Selat Melaka, juadah utama yang sering menjadi buruan pengunjung ke kawasan berkenaan semestinya makanan laut.

Sebut saja makanan laut, memang banyak lokasi yang menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negeri itu.

Masing-masing mempunyai pilihan dan cita rasa sendiri. Antara destinasi yang popular adalah Abah Ikan Bakar, Aroma Ikan Bakar Jeram dan banyak lagi.

Kebanyakannya terletak berhadapan laut dan menjadi daya penarik kepada pengunjung kerana berpeluang menikmati juadah sambil melihat matahari terbenam.

Pelbagai hidangan enak boleh dicuba dan semuanya daripada hidupan laut segar.

Ada juga hidangan ketam gergasi (king crab) atau udang kara besar yang sukar diperoleh di tempat lain.

Selain itu, jangan ketinggalan untuk merasai sendiri keunikan hidangan makanan laut di Ketam Merah Cabin yang terletak di Kampung Sungai Burung, Sekinchan.

Hidangan popular semestinya ketam cili yang dimasak menggunakan ketam segar.

Juadah lain seperti udang kara masak mentega, lala kam heong, udang goreng tepung dan pelbagai jenis ikan bakar juga antara menu kegemaran ramai.

Pengunjung tidak perlu risau dengan status halal restoran itu kerana pemiliknya beragama Islam.

Dalam pada itu, pernahkah anda mencuba hidangan mentarang bakar atau belangkas?

HIDANGAN soto lazat di Pasir Penambang, Kuala Selangor.
HIDANGAN soto lazat di Pasir Penambang, Kuala Selangor.

Jangan lepaskan peluang mencuba keenakan hidangan unik itu sekiranya anda berkunjung di kawasan berkenaan.

Ia boleh didapati di beberapa lokasi di sekitar Kuala Selangor dan Sekinchan namun antara yang popular adalah Faridah Mentarang Bakar.

Tidak sah kunjungan ke kawasan berkenaan jika tidak menikmati hidangan popular iaitu mi udang banjir.

Antara lokasi yang popular dengan hidangan itu adalah Mee Udang Banjir Kuala Selangor.

Restoran itu menyajikan mi udang enak yang bukan sahaja diburu penduduk Selangor malah pengunjung dari seluruh negara.

MI udang enak yang popular di Kuala Selangor. - Gambar hiasan
MI udang enak yang popular di Kuala Selangor. - Gambar hiasan

Apa tidaknya, udang yang disajikan segar dan bersaiz besar manakala kuahnya juga memang secukup rasa.

Jika mahu hidangan ringan untuk makan pagi atau minum petang, pengunjung boleh singgah di Warung Soto Pasir Penambang.

Menu utama sudah semestinya soto enak yang dihidangkan dengan kuah pekat, bergedil, hirisan daging ayam, sambal kicap dan nasi himpit.

Hidangan panas dan produk industri kecil dan sederhana (IKS) lain juga disediakan di warung ini.

Jadi, tunggu apa lagi, bagi penggemar 'jalan-jalan cari makan' masukkan Kuala Selangor dan Sekinchan sebagai salah destinasi percutian pilihan anda bersama keluarga.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 January 2023 @ 7:00 AM