PEMBANTU kedai, Suraya Ibrahim memotong racun yang ada di badan belangkas sebelum dimasak.
PEMBANTU kedai, Suraya Ibrahim memotong racun yang ada di badan belangkas sebelum dimasak.
GERAI Belangkas Mahkota Kota Tinggi terkenal sehingga ke Singapura.
GERAI Belangkas Mahkota Kota Tinggi terkenal sehingga ke Singapura.
Mohd Sabran Md Sani


Kota Tinggi: Ibarat hidangan ikonik apabila menu belangkas sambal pedas kering yang diwarisi keluarga Allahyarham Abd Hamid Musa (Pak Hamid) sejak turun temurun membolehkan restoran eksotik didirikan di Jalan Tun Sri Lanang, Jalan Kota Tinggi-Mersing terus bertahan hingga kini.

Biarpun ringkas, namun resipi tradisi yang unik membolehkan Gerai Belangkas Mahkota Kota Tinggi didirikan di tepi jalan ini bertahan dan kini usianya menjangkau 20 tahun, malah menjadi ikon hidangan istimewa bagi penduduk daerah ini.

Tidak hairan, menu sajian air tangan Lailan Arif, 60, mendapat tempat di hati pelanggan setianya yang datang dari seluruh pelosok negara termasuk Kota Singa.

Ia ibarat menu wajib perlu dicuba terutama kepada individu yang kali pertama bertamu di bandar ini dan mahukan kelainan daripada resepi tempatan.

Bagi pemilik restoran itu, Mohd Khair Abd Hamid, 43, jatuh bangun gerai belangkas diusahakan arwah ayahnya dialami dalam memperkenalkan restoran berkenaan.

Tidak menolak aura Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang ketika itu menyandang Tunku Mahkota Johor membantu dalam menjenamakan restoran itu.

Jika dulu, pelanggan mereka tidak ramai dan belangkas masak pedas terjual antara 20 hingga 30 ekor sehari, namun kini jumlahnya mencecah 100 ekor pada cuti umum.

Berkongsi sejarah perniagaan berkenaan katanya, ia pada mulanya sekadar memenuhi permintaan rakan arwah ayahnya yang juga pengasas gerai berkenaan.

Katanya, di awal pembabitan, Sultan Ibrahim kerap mengunjungi kampung mereka di Kampung Tanjung Buai, Kota Tinggi, di sini, selain berminat dengan belangkas diperoleh hasil tangkapan daripada laut.

“Kebetulan kami berasal daripada keluarga nelayan dan arwah ayah sering turun ke laut dan menjaring belangkas.

“Ketika itu permintaan untuk belangkas datang daripada rakan dan memesan menu belangkas termasuk belangkas bakar dan belangkas sambal pedas,” katanya.

Bercerita lanjut katanya, Sultan Ibrahim ketika itu turun ke kampung berkenaan dan turut memesan belangkas biarpun statusnya sebagai anak raja tidak dikenali ketika itu.

“Sejak itu, hubungan ayah yang dikenali dengan gelaran ‘Pak Mok’ dengan Sultan Ibrahim semakin rapat, malah baginda sering memesan belangkas ketika turun ke kampung kami di Kampung Tanjung Buai, Teluk Sengat melalui laluan laut.

“Bertitik tolak dari situ, baginda mencadangkan idea pembukaan geran ini dengan jenama Gerai Belangkas Mahkota berikutan status baginda ketika itu Tunku Mahkota Johor (TMJ) dan kini menjadi sebutan ramai,” katanya.

Mohd Khair berkata, bermula dengan menyewa di sebuah gerai milik sebuah agensi kerajaan, operasi itu dikembangkan di tapak sedia ada kini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 8:41 AM