London: Roberto Soldado (gambar) menjaringkan gol pertama Liga Perdana sejak Mac lalu ketika membantu Tottenham melakar satu lagi kebangkitan menakjubkan untuk menundukkan Everton 2-1.

Selepas beraksi 593 minit tanpa jaringan, penyerang itu meledak gol ketika babak pertama hampir tamat. Sebelum itu, Christian Eriksen memadam kelebihan jaringan pemain tengah Everton, Kevin Mirallas.

“Ia bukan mudah,” kata pengurus Tottenham Mauricio Pochettino. “Sangat mengecewakan buat seorang penyerang apabila tidak menjaringkan gol. Itulah yang dirasai Roberto.”

Selepas berjaya bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat kemenangan terbaru itu, Tottenham melonjak mengatasi Everton, naik tiga anak tangga daripada kedudukan ke-10, dua mata di belakang empat pasukan teratas.

Aksi membanggakan seperti dipamerkan pada perlawanan itu sangat-sangat ditunggu oleh Tottenham sejak mendapatkan khidmat Mauricio Pochettino, jurulatih ketiga yang diambil tahun ini.

“Hari yang cukup hebat tidak kira daripada segi mental dan semangat kami,” kata Pochettino. “Ia bukan sekadar tiga mata, tetapi kami gembira kerana berjaya menamatkan rentetan aksi buruk.”

Bagaimanapun, Tottenham masih lagi bergelut di depan penyokong sendiri. Kejayaan kali ini yang ketiga daripada tujuh aksi di White Hart Lane.

Romelu Lukaku gagal melakukan penyudah yang baik selepas menerima hantaran Ross Barkley tetapi Mirallas berjaya mengambil kesempatan hasil kelemahan pertahanan Tottenham dan pemain itu menjaringkan gol pada minit ke-15.

Tottenham bangkit menyamakan kedudukan tidak lama kemudian apabila Harry Kane melepasi pertahanan, tetapi rembatannya berjaya ditampan penjaga gol Tim Howard sebelum bola singgah di kaki Eriksen yang pantas menjaringkan gol penyamaan.

Ketika Tottenham terus menekan lawan, rembatan Eriksen terkena pertahanan dan Soldado mengambil peluang itu untuk menamatkan kemarau jaringannya. - AP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 7:01 AM