Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pengendali skuad Projek Sukan SEA 2017 Frank Bernhardt merancang untuk memanggil hingga 50 pemain pada sesi latihan pusat yang dijangka berlangsung secara tiga fasa bagi menghadapi saingan Piala Negara-Negara di Stadium Hang Jebat, Melaka dari 3 hingga 5 Jun ini.

Dengan fasa pertama dijadualkan pada 7-9 Mei ini, sebelum diteruskan pula bagi pemain bawah 19 tahun dari 20-22 Mei disusuli kem latihan ketiga pada 25 Mei sebelum Bernhardt menyenaraikan pilihan muktamadnya bagi menghadapi cabaran Piala Negara-Negara itu.

“Kami masih meninjau pemain berbakat menerusi aksi mereka dalam perlawanan Liga Perdana dan Piala Presiden. Walaupun sasaran utama pasukan ini adalah Sukan SEA 2017, tapi semuanya bergantung dengan persembahan yang kami tampilkan pada Piala Negara-Negara di Melaka nanti,” katanya.

Ujarnya lagi, jika sebelum ini skop pencariannya lebih terarah dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana, beliau akan memberi ruang seluas-luasnya buat pemain di saingan lebih rendah seperti Piala FAM dan Piala Presiden.

“Pemain yang tidak terbabit secara serius dalam Liga Super dan Liga Perdana tapi berpotensi akan diberikan peluang untuk menyertai kem latihan.

“Kami sedang melihat setiap pemain. Jika mereka cukup bagus, kami akan bawa mereka masuk. Mungkin ada posisi dalam pasukan ini sudah diisi tapi kami masih perlu melihat pemain lain daripada Piala Presiden dan Piala FAM.

“Kami mahu kumpulan besar 50 pemain untuk membuat pilihan. Piala Negara-Negara sebahagian daripada proses memilih skuad ke Sukan SEA. Setiap pemain perlu bekerja keras, tiada jaminan buat mana-mana pemain,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kecederaan yang dialami tonggak pertahanan Johor Darul Ta’zim II (Johor DT II), Dominic Tan, beliau berharap pemain itu segera sembuh dan sempat menyertai pasukan ke kejohanan di Melaka nanti.

“Kami sudah menghantarnya ke pakar fisioterapi dan kami mendapati ia kecederaan berulang. Kami terpaksa mengetepikannya untuk tempoh masa yang lama kerana dia pemain penting. Kami mahu memastikannya 100 peratus cergas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 April 2016 @ 6:22 AM