POLIS menyuraikan penunjuk perasaan di luar bangunan Parlimen di Ankara.
POLIS menyuraikan penunjuk perasaan di luar bangunan Parlimen di Ankara.

Ankara: Polis semalam menembak gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berhimpun di luar bangunan Parlimen bagi membantah cadangan untuk memperkenalkan perlembagaan Islam di Turki.

Kira-kira 100 orang menyertai tunjuk perasaan itu sambil melaungkan slogan “Turki mesti kekal sekular.’

Kejadian berlaku selepas speaker Parlimen, Ismail Kahraman berkata, sebuah negara dengan majoriti penduduk Islam seperti Turki perlu mempunyai perlembagaan Islam.

Sementara itu, ketua Suruhanjaya Perlembagaan Parlimen, Mustafa Sentop memberitahu wartawan semalam, setakat ini tidak ada cadangan untuk menukarkan perlembagaan yang sedia ada.

“Ismail tidak bercakap bagi pihak kerajaan atau Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP),” kata Mustafa.

AKP ialah parti pemerintah yang diketuai oleh Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Sejak dipilih semula menerusi pilihan raya November lalu, kerajaan Turki berkata, ia merancang membaharui perlembagaan negara itu yang diguna pakai sejak 1982 selepas dirangka oleh junta tentera yang berkuasa selepas rampasan kuasa 1980. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 6:37 AM