Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi


Kerian : Bekalan air bagi 250,000 penduduk sekitar daerah Kerian akan dicatu jika paras air Empangan Bukit Merah jatuh pada tahap 5.1 meter.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, penurunan paras air kolam yang ketara iaitu sehingga 5.97 meter hari ini, membimbangkan pihaknya serta penduduk daerah ini berikutan ia kejadian terburuk dalam sejarah.

Menurutnya, jika keadaan berterusan tanpa hujan, paras air kolam berkenaan dijangka mampu bertahan selama 23 hari sahaja untuk sampai ketahap 5.1 meter.

"Jika paras air kolam ini jatuh kepada 5.1 meter, 250,000 penduduk daerah ini akan terkesan apabila sumber bekalan air bersih bakal dicatu.

"Bermula 12 April lalu kita sudah melakukan pembenihan awan dan namun beberap kali gagal berikutan pembentukan awan yang tidak sempurna dan pada petang ini proses itu akan dilakukan sekali lagi," katanya ketika meninjau kawasan takungan berkenaan di sini hari ini.

Beliau berkata pada dalam masa yang sama pihaknya merancang untuk meningkatkan kedalaman kolam Bukit Merah iaitu dari 8.55 meter kepada 9.9 meter yang menelan kos sebanyak RM200 juta bagi memastikan bekalan air untuk kegunaan semua sudut mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 8:30 PM