POKOK hiasan sebesar tiga pemeluk di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar tumbang menyebabkan kereta Proton Iswara terbalik selepas hujan lebat, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
POKOK hiasan sebesar tiga pemeluk di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar tumbang menyebabkan kereta Proton Iswara terbalik selepas hujan lebat, hari ini. FOTO Zuliaty Zulkiffli.
Zuliaty Zulkiffli


“BUNYI dentuman itu sangat kuat dan mulanya saya menyangka ada orang dalam Proton Iswara itu sebelum orang ramai mula mengerumuni kawasan itu, namun selepas diperiksa tiada mangsa terbabit.”

Begitu kata saksi kejadian, Iskandar Ahmad, 32, selepas kereta diparkir di tepi jalan Lebuhraya Sultan Abdul Halim, Alor Setar, terbalik apabila dihempap pokok sebesar tiga pemeluk yang tumbang tengah hari ini.

Iskandar berkata, ketika kejadian dia memandu kereta dan dalam perjalanan ke pusat bandar sebelum ternampak pokok itu tumbang lalu memberhentikan keretanya di tepi jalan.

“Pada masa sama, dahan pokok itu tumbang di tengah jalan dan menghalang lalu lintas, namun mujur kenderaan lain termasuk motosikal sempat mengelak dari terkena dahan pokok berkenaan.

“Tidak lama kemudian pemilik kereta Proton Iswara itu datang dan melihat kenderaannya yang rosak teruk, namun bersyukur kerana dia terselamat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja, Penolong Penguasa Bomba Firdaus Isa berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 1.24 tengah hari dan sepasukan anggota tiba di lokasi seminit kemudian.

Beliau berkata, operasi diketuai Pegawai Bomba Zulkifli Abdul Aziz bersama tujuh anggota dengan sebuah jentera dari BBP Jalan Raja ke lokasi kejadian.

“Kami dapati sebatang pokok sebesar tiga pemeluk tumbang sehingga akarnya tercabut dan terkena kereta diparkir di situ.

“Bagaimanapun hasil pemeriksaan dalam kenderaan itu mendapati tiada sesiapa di dalamnya dan maklumat daripada pemilik kereta itu memaklumkan tiada orang dalam kenderaan itu,” katanya.

Firdaus berkata, pihaknya memotong dahan dan batang pokok yang menghalang lalu lintas dan operasi tamat pada 2.40 petang selepas kerja pemotongan dan pembersihan selesai dilakukan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 10:43 PM