TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar. FOTO Eizairi Shamsudin
TERTUDUH dibawa ke Mahkamah Majistret Kangar. FOTO Eizairi Shamsudin
Aizat Sharif


Kangar: Suri rumah dan peniaga barangan kanak-kanak dalam talian didakwa di Mahkamah Majistret Kangar, hari ini atas tuduhan memiliki barangan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas pada Mac lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada tertuduh, Siti Nor Intan Shafinaz Johari, 27, dan Muhammad Saiful Hashim, 35, sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Izmi Ibrahim.

Siti Nor Intan Shafinaz yang mengenakan jubah labuh berwarna hitam dan berkasut sukan serta Muhamad Saiful berpakaian kemeja T berwarna hitam dan berseluar jeans kelihatan tenang ketika berada dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.

Berdasarkan kertas pertuduhan yang dikenakan kepada Siti Nor Intan Shafinaz, dia didakwa memiliki bahan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas di Kampung Ujung Tanjung, Kuala Perlis, Kangar pada 22 Mac lalu 8.15 pagi.

Manakala, Muhammad Saiful pula didakwa melakukan perbuatan yang sama pada tarikh yang sama di No 56, Jalan Sekolah Derma, Kangar pada 7.45 pagi.

Bagi kesalahan berkenaan, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan.

Selain itu juga, Muhammad Saiful berdepan dengan pertuduhan kedua iaitu memiliki enam keping wang kertas RM10 yang palsu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada tarikh, masa dan tempat yang sama seperti pertuduhan pertama dengan niat hendak menggunakannya sebagai wang tulen.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amril Johari manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili oleh peguam

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 20 Mei hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 4:40 PM