Mohamad Azmin Shah    didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput.
Mohamad Azmin Shah didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput.

Sungai Siput: Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Siput, semalam dengan pertuduhan memiliki barangan, menggalak dan merekrut ahli kumpulan pengganas pada tahun lalu.

Mohamad Azmin Shah Sharifudin, 22, didakwa memiliki barangan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan perbuatan pengganas pada jam 6.55 pagi di alamat PT 645, Kampung Tersusun Salak Baru, pada 24 Mac 2015.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan (KK) yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dilucut hak mana-mana barangan berkaitan.

Bagi pertuduhan kedua, Mohamad Azmin Shah didakwa menggalakkan perbuatan pengganas di sebuah rumah tidak beralamat di lokasi sama pada Jun 2015 mengikut Seksyen 130G KK yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 130E KK kerana merekrut seorang individu lain iaitu Ahmed Shahir Johari sebagai ahli kumpulan pengganas di pekarangan Hentian Sebelah Salak, Kampung Tersusun Salak Baru, pada Ogos 2015.

Bagi pertuduhan ketiga, Mohamad Azmin Shah boleh dihukum penjara maksimum 30 tahun dan denda jika terbukti bersalah.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa RayaHarris Ong Mohd Jeffery Ong di hadapan Majistret Norhabsarina Ayob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan ketika pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah. Norhabsarina menetapkan tarikh 25 Mei depan untuk sebutan semula dan pengurusan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 7:19 AM