Fuad Hadinata Yaacob dan Icka S Hassan


Kuala Langat: Kira-kira 17 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Selatan masih terbakar hingga hari ini daripada 25 hektar dalam kejadian yang bermula pada 30 Mac lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, operasi pemadaman berdepan kesukaran kerana tiada sumber air, akses laluan masuk dan cuaca panas ketika ini.

Beliau berkata, ketika ini pihaknya bergantung kepada telaga tiub sedia ada yang menyalurkan air dari bawah tanah ke parit yang dibina untuk ke lokasi kebakaran.

"Kita menggunakan lima jengkaut untuk mengorek parit bagi mengalirkan air ke lokasi kebakaran.

"Keadaan ini memerlukan masa berikutan kawasan hutan simpan ini adalah tanah gambut," katanya ditemui di sini sebentar tadi.

Kebakaran hutan yang masuk hari ke-18 itu membabitkan kawasan belukar dan semak samun dan usaha mengawalnya daripada merebak ke hutan tebal kini giat dilakukan.

Lebih 40 anggota bomba dan penyelamat bertugas membabitkan BBP Banting, Sepang, KLIA selain Jabatan Perhutanan Selangor serta Majlis Daerah Kuala Langat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 April 2016 @ 4:17 PM
KEADAAN hutan yang terbakar. FOTO Fuad Hadinata Yaacob dan Icka S Hassan
KEADAAN hutan yang terbakar. FOTO Fuad Hadinata Yaacob dan Icka S Hassan