LOY Sian (kanan) meninjau kebakaran hutan di kompartmen 21 dalam Hutan Simpan Kuala Langat Selatan. FOTO Ihsan Kerajaan Negeri
LOY Sian (kanan) meninjau kebakaran hutan di kompartmen 21 dalam Hutan Simpan Kuala Langat Selatan. FOTO Ihsan Kerajaan Negeri
Ruwaida Md Zain


KEBAKARAN hutan di kompartmen 21 dalam Hutan Simpan Kuala Langat Selatan (HSKLS) di Banting yang merebak sehingga 80 hektar disyaki berpunca dari aktiviti pertanian haram.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian berkata, ada pengusaha tanaman kontan cuba menceroboh kawasan itu dan membakar hutan sedia ada untuk tujuan pertanian.

“Kita mengesyaki ada petani tidak bertanggungjawab membakar hutan itu sehingga menyebabkan ia merebak ke hutan simpan, tambahan pula cuaca yang panas, kering dan berangin menyebabkan kebakaran cepat merebak.

“Kebakaran yang bermula kira-kira 30 hektar, sekarang kawasan kebakaran mencecah 80 hektar. Kawasan ini tiada jalan masuk dan tidak pernah berlaku kebakaran di sini,” katanya dalam sidang media di ketika meninjau lokasi kebakaran terbabit.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis.

Loy Sian berkata, empat jentera pengorek (excavator) sudah digerakkan untuk membuat jalan masuk bagi kerja-kerja memadam kebakaran.

“Kita akan tambah lagi excavator untuk membuat fire break bagi menghalang api dari merebak ke kompartmen lain.

“Kita sedang cuba mendapatkan bantuan pesawat Bombardier milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) untuk pemadaman dari udara, jika tidak ia akan ambil masa yang lama untuk padam iaitu kira-kira tiga hingga empat bulan sebab tempat ini sukar untuk masuk, dengan Bombardier, hanya ambil masa tujuh hingga 10 hari.

“Kekuatan anggota operasi bersepadu inter-agensi ini membabitkan JBPM, JPNS, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor (UPBN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan PERHILITAN,” katanya.

Mengulas mengenai pencerobohan oleh petani yang menanam tanaman kontan itu, beliau berkata, ia bukan perkara baharu kerana ada di antara mereka sudah bertapak di situ sejak 30 hingga 50 tahun.

“Kerajaan Negeri melalui JPNS sudah berusaha memutihkan kawasan ini dengan membenarkan mereka menanam tanaman kontan.

“Setakat ini, kita terima 400 permohonan untuk membenarkan mereka usahakan tanaman di situ.

“Masalahnya sekarang juga petani guna warga asing usahakan tanam mereka, mereka tidak usahakan sendiri tetapi arga asing akan bakar saja,” katanya.

Semalam, JBPM dilaporkan mengalami kesukaran dalam usaha pemadaman kebakaran disebabkan tiada laluan masuk, tiada laluan kenderaan, tiada sumber air serta keadaan cuaca.

Kebakaran terbabit adalah kali kedua selepas kira-kira 35 hektar daripada kawasan hutan simpan itu dilaporkan terbakar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 April 2020 @ 11:14 PM