ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Banting memadam kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.
ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat Banting memadam kebakaran Hutan Simpan Kuala Langat Selatan.
Fuad Hadinata Yaacob


Kuala Langat: Operasi memadamkan kebakaran di Hutan Simpan Kuala Langat Selatan di sini, yang masuk hari ke-19 semalam semakin mencabar berikutan ketiadaan hujan selain cuaca panas terik.

Sehingga petang semalam, kira-kira 15 hektar kawasan hutan tanah gambut itu masih terbakar dan mengeluarkan asap tebal.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Banting Mohd Jaslizad Jalil berkata, pihaknya kini hanya bergantung kepada parit yang dikorek untuk menyalurkan air dari dua telaga tiub terletak di pusat operasi dalam kawasan berkenaan.

Beliau berkata, cuaca panas ketika ini boleh menyebabkan kebakaran di kawasan itu berlaku semula namun pihaknya mengambil tindakan membanjirkan kawasan yang terbakar itu bagi memastikan api dapat dipadamkan sepenuhnya.

“Melalui parit yang ada, kita menggunakan pendekatan ‘direct attack’ (pemadaman terus di kawasan terbakar) dengan menggunakan sumber air yang banyak.

“Di kawasan kebakaran ini, kedalaman tanah gambut berbeza-beza, kurang setengah meter hingga lebih semeter. Jadi ia memerlukan air yang banyak untuk membuat pemadaman bagi memastikan api di kawasan itu padam sepenuhnya,” katanya di sini semalam.

Mohd Jaslizad berkata, cuaca panas dan ketiadaan hujan antara cabaran yang perlu dihadapi dalam operasi berkenaan.

“Sebelum ini ada hujan tetapi renyai saja dan jika hujan lebat dua atau tiga jam, kebakaran ini boleh dikawal sepenuhnya,” katanya.

Dalam operasi itu lebih 40 petugas terbabit termasuk anggota bomba, Majlsi Daerah Kuala Langat, Unit Pengurusan Benca Negeri, Unit Penguatkuasaan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Langat serta Jabatan Perhutanan Selangor.

Kebakaran bermula 31 Mac lalu itu membabitkan 25 hektar daripada jumlah keseluruhan hutan simpan iaitu 7,038 hektar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 6:35 AM