ANTARA warga asing yang pernah ditahan disyaki memiliki kad pengenalan palsu. FOTO JPN
ANTARA warga asing yang pernah ditahan disyaki memiliki kad pengenalan palsu. FOTO JPN
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Tiada kakitangan atau pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang terbabit dalam sindiket kad pengenalan palsu berikutan kes penangkapan beberapa warga Filipina baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan dan melaksanakan operasi untuk menahan sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan dengan sindiket ini, selain mendapat kerjasama daripada orang ramai.

"Sindiket ini tidak boleh bergerak dan beroperasi secara senyap kerana mereka sentiasa mencari pelanggan.

"Melalui maklumat daripada orang ramai kita akan melakukan pemantauan dan memastikan kad pengenalan yang dirampas diperiksa semula melalui pangkalan data yang ada di JPN," katanya ketika ditemui pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Jabatan Pendaftaran Negara 2015 di sini, hari ini.

Beliau berkata, cip pada kad pengenalan palsu yang dicetak sindiket tidak mempunyai sebarang data atau maklumat sedia ada tidak sama dengan data yang ada di JPN.

"Sistem sedia ada di JPN mampu untuk mengenal pasti mereka yang menggunakan kad pengenalan palsu yang dibuat oleh sindiket dan bukan daripada pegawai di sini.

"Jumlah kad pengenalan yang bermasalah adalah di luar JPN dan ia tidak membabitkan penyelewengan daripada pagawai JPN,"katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 April 2016 @ 3:21 PM