KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki. FOTO Bernama
KETUA Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki. FOTO Bernama
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan tiga lagi pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) disyaki terbabit dalam kes kontena lari cukai (kontena terbang) yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang, Selangor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, berkata pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah lebih RM3 juta ketika penahanan suspek dibuat.

"Hari ini akan ada pengumuman dibuat kerana hari ini kita menahan beberapa pegawai JKDM dan menemui wang tunai sejumlah lebih RM3 juta.

"Saya sudah mengarahkan timbalan saya, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya (Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi) untuk mendedahkan penemuan wang ini yang begitu besar dalam kalangan mereka yang terbabit," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan pelancaran buku bertajuk 'The Sin Of Corruption A Religious Perspective' di sini, hari ini.

Khamis lalu, tujuh individu termasuk pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terbabit dalam kes kontena terbang yang bergiat aktif di Pelabuhan Klang, Selangor ditahan dalam Op Transit.

Kesemua yang ditahan itu disyaki bersekongkol dengan sindiket penyeludupan barangan import di Pelabuhan Klang yang mengakibatkan ketirisan cukai dianggarkan bernilai kira-kira RM3.5 bilion kepada negara.

Hasil operasi yang dijalankan oleh SPRM dan JKDM pada Rabu lalu menahan 19 kontena yang mengandungi pelbagai barangan import.

Susulan itu SPRM menghubungi Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) Singapura dalam usaha menjejak seorang warga negara berkenaan yang disyaki dalang utama kes terbabit.

Sumber SPRM memaklumkan, berdasarkan siasatan, suspek dipercayai sudah meninggalkan negara berkenaan dan usaha untuk menjejak suspek sedang dijalankan.

Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk menahan dalang utama itu.

"Kita sudah memulakan permohonan melalui AGC kerana permohonan (menjejak suspek) kepada negara luar memerlukan kelulusan AGC.

"Tetapi kita juga membuat rangkaian perisikan dengan Singapura bagi mengesan pihak terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 11:44 AM