Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli. FOTO arkib NSTP
Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli. FOTO arkib NSTP
Nursyahirah Marzuki


Putrajaya: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) merekodkan sebanyak 273 kes kad pengenalan palsu dan menggunakan kad pengenalan milik orang lain sepanjang tahun lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Yazid Ramli berkata, bagaimanapun, sehingga kini pihaknya belum dapat mengenal pasti dalang di sebalik sindiket kad pengenalan palsu ini.

"JPN hanya dapat menangkap pekerja asing yang menggunakan kad pengenalan palsu dan setiap kali operasi kita berjaya menahan lebih dari 10 individu.

"Kebanyakan tangkapan membabitkan kes di Perak, Johor dan Pahang. Mereka mengakui mendapatkan kad pengenalan palsu di Sabah dan apabila kita selidik, mereka sebenarnya berasal dari Filipina," katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JPN di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Dalam Negeri II Datuk Masir Kujat.

Seramai 346 warga JPN menerima APC bagi 2016 yang terdiri daripada 17 pegawai kumpulan pengurusan dan profesional serta 329 dari kumpulan pelaksana.

Mohd Yazid berkata, pihaknya sentiasa melaksanakan operasi penguatkuasaan, risikan selain menerima maklumat daripada orang awam dalam membanteras kegiatan terbabit daripada berleluasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 April 2017 @ 4:22 PM