GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kementerian Dalam Negeri (KDN) menerusi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sedang meneliti cadangan berkaitan pelaksanaan Inisiatif Identiti Digital Nasional (IDN), seiring dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa.

Timbalan Menterinya Datuk Seri Ismail Mohamed Said berkata, kerajaan memahami isu yang sering dihadapi orang ramai yang dikehendaki mengemukakan kad pengenalan bagi urus niaga tertentu termasuk semasa berurusan di JPN.

"IDN merupakan satu platform pengesahan yang boleh dimanfaatkan oleh individu, sektor awam dan swasta untuk pengesahan identiti pengguna semasa melakukan transaksi secara digital.

"Bagaimanapun inisiatif IDN ini tidak akan menggantikan penggunaan dan fungsi MyKad fizikal, malah akan memperkukuhkan lagi pelaksanaan dan keselamatan MyKad sedia ada," katanya ketika menggulung Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Negara hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, urus niaga yang dijalankan dalam talian dijangka menjadi lebih selamat selain menangani isu keperluan untuk pelanggan menyertakan salinan MyKad kerana terdapatnya elemen semak dan imbang identiti melalui pengesahan biometrik secara digital oleh JPN.

Menyentuh tentang cadangan untuk menukar atau menambah baik kad pengenalan yang sedia ada bagi membanteras isu pemalsuan, Ismail berkata MyKad sedia ada mempunyai ciri keselamatan bermutu tinggi dan terjamin daripada ancaman sindiket-sindiket pemalsuan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 2:28 PM