GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

SERAMAI 11 pekerja kilang warga asing ditahan kerana memiliki Mykad palsu dalam operasi Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sebuah kilang di Jalan Bukit Kemuning, Batu 6, Shah Alam, Selangor, semalam.

Operasi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSK) JPN itu dijalankan susulan aduan awam berhubung terdapat pekerja di kilang berkenaan menggunakan Mykad palsu.

JPN dalam kenyataan memaklumkan, objektif operasi ini bertujuan mencegah dan membanteras pemalsuan dan penyalahgunaan kad pengenalan diri.

Menurutnya, operasi disertai 20 anggota penguatkuasa JPN.

"JPN turut mengingatkan pihak pengurusan kilang supaya memastikan mereka yang diambil bekerja mestilah mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

"JPN tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang didapati terbabit dalam kegiatan sebegini," katanya.

Menurutnya, operasi penguatkuasaan akan sentiasa dilaksanakan di seluruh negara bagi membanteras penyalahgunaan dokumen kad pengenalan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 8:21 PM