Syanty Octavia Amry


Teruja menjayakan persembahan di Kuching, Sarawak sempena Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt, kumpulan Forteen tidak sabar mahu bertemu peminat setia mereka.

Mengakui sambutan peminat di Sarawak begitu luar biasa, Forteen yang dianggotai One, Ameer, Izzue Islam dan Ariz Lufias berbesar hati diundang menjayakan konsert yang akan berlangsung di Kuching Waterfront pada 21 Mei ini.

“Kami sangat berbesar hati diberi peluang sekali lagi terbabit dalam persembahan sempena sambutan ulang tahun ke-25 Harian Metro.

“Kami jarang diundang ke Kuching dan dengan adanya konsert ini sudah tentu teruja dan tidak sabar.

“Kami suka mengadakan persembahan di Kuching kerana sambutan penonton sangat luar biasa,” kata Ariz mewakili rakan-rakannya.

Mengulas mengenai lagu yang bakal didendangkan, kumpulan yang tampil dengan single baru berjudul Dekat Tapi Jauh itu masih mempertimbangkannya.

“Terlalu banyak permintaan daripada peminat. Ada yang mahu kami menyanyikan lagu lama, tidak kurang juga minta kami mempersembahkan lagu baru.

“Untuk tidak menghampakan peminat, insya-Allah kami akan bawa lagu baru dan lama. Apa pun ia akan diputuskan pada hari konsert nanti.

“Saya harap peminat teruja dengan kejutan ini dan menanti persembahan kami dengan penuh sabar,” kata Ariz lagi.

Selain Forteen, konsert yang bermula jam 8.30 malam itu turut menampilkan Dayang Nurfaizah, Nanasheme, 6ixth Sense serta penyanyi sensasi YouTube dan Smule, Khai Bahar.

Kuching adalah lokasi terakhir Konsert Jelajah Ledakan 25 Tahun Harian Metro bersama Yeo’s Yeogurt yang sebelum ini diadakan di Alor Setar, Muar, Kuantan dan Miri.

Acara kemuncaknya iaitu Konsert Ledakan 25 Tahun Harian Metro berlangsung di Setia City Park @ Oval Lawn, Setia Alam pada 2 April lalu.

Konsert yang menghimpunkan penyanyi popular Datuk Jamal Abdillah, Amy Search, Ella, XPDC, Dayang Nurfaizah, Ayda Jebat, Siti Nordiana, Ezad Lazim dan Papinka itu dihadiri lebih 35,000 penonton.

Selain konsert, beberapa aktiviti menarik turut diadakan untuk pengunjung seperti karaoke santai, pertandingan mewarna, permainan kereta kawalan jauh dan pelbagai lagi.

Turut diadakan sesi bertemu peminat di C Atrium, Vivacity Megamall, Kuching, Jumaat ini mulai jam 8 hingga 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 12:42 PM