Rudy Syareme Sheriffudin

Georgetown: Aktiviti songsang dan seks di dua pusat hiburan di Jalan Transfer dan Penang Road, di sini, lumpuh apabila diserbu, malam tadi.

Kedua-dua pusat itu diserbu Skuad Taktikal Khas Antimaksiat, Perjudian dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman dibantu Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, kira-kira 11 malam tadi.

Dalam serbuan itu, polis menyelamatkan 64 wanita dan sebelas pondan warga asing berusia 19 hingga 38 tahun yang dijadikan GRO.

Kesemua wanita terdiri daripada 32 Vietnam di premis hiburan Jalan Trasfer serta 29 (Thailand) manakala masing-masing dua Ukraine dan Uzbekistan di Penang Road.

Mereka dipercayai dibawa masuk menggunakan pas lawatan sosial dan sudah bekerja sebagai GRO di dua premis berkenaan sejak beberapa bulan lalu.

Sumber berkata, sebelas pondan Thailand yang ditahan di Penang Road itu pula bekerja sebagai GRO kepada pelanggan songsang.

Polis turut menahan tiga wanita termasuk seorang warga asing dan 11 lelaki termasuk seorang warga asing yang menjadi penjaga kepada wanita serta pondan warga asing berkenaan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan serbuan berkenaan.

Warga tempatan yang menjadi penjaga warga asing berkenaan disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan 1998, Sek 55(B) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12 Akta Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Wanita Vietnam yang ditahan di Jalan Transfer pula disiasat mengikut Seksyen 44 ATIPSOM 2007 manakala selebihnya mengikut Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 April 2016 @ 5:21 PM