PENG Soon (belakang) dan  Liu Ying meraikan kejayaan menumpaskan pasangan China di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.
PENG Soon (belakang) dan Liu Ying meraikan kejayaan menumpaskan pasangan China di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.
myMetro

Shah Alam: Kemenangan yang tidak dijangka. Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengakui agak terkejut selepas menumpaskan pemenang pingat perak Sukan Olimpik London Xu Chen-Ma Jin dari China di pusingan kedua Terbuka Malaysia, semalam.

Mereka yang baru saja muncul juara Terbuka New Zealand bulan lalu, mempamerkan permainan mantap untuk mencatat kemenangan straight set 23-21, 21-6 di Stadium Malawati.

Kemenangan itu menamatkan kemarau enam perlawanan berturut-turut mereka tidak mampu menundukkan Xu Chen-Ma Jin selepas kali pertama melakukannya di Terbuka China 2011.

Menurut Liu Ying, walaupun agak terkejut menundukkan pasangan China itu tetapi sebelum turun ke gelanggang mereka sebenarnya sudah membuat kajian mengenai corak permainan lawan.

“Hari ini (semalam) strategi kami menjadi, tapi perjalanan masih jauh. Kami mahu fokus satu demi satu perlawanan,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan tamat semalam.

Pemain kelahiran Melaka itu berkata, aksi suku akhir bertemu pasangan Thailand Puavaranukroh Dechapol-Sapsiree Taerattanachai hari ini bukan mudah.

“Mereka menewaskan pilihan ketiga, Liu Cheng-Bao Yixin hari ini. Jadi, mereka juga dalam keadaan baik,” kata Liu Ying.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 April 2016 @ 8:34 AM