PENG Soon (depan), Liu Ying mahu tingkat prestasi sebelum ke Rio.
PENG Soon (depan), Liu Ying mahu tingkat prestasi sebelum ke Rio.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Bukan sekadar mahu layak tetapi mahu menang pingat dan tekad itulah yang ditanam pemain badminton beregu campuran negara, Chan Peng Soon yang berada di kedudukan terbaik untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik Rio 2016.

Peng Soon yang bergandingan bersama Goh Liu Ying, mengaku bahawa mereka sekarang ini harus mempertingkatkan prestasi jika berhajat meraih pingat sulung di temasya berkenaan yang berlangsung dari 5 hingga 21 Ogos nanti.

“Kalau kami lihat prestasi sekarang ini, untuk memenangi pingat ia belum mencukupi. Kalau kami layak kami harus mempertingkatkan mutu permainan dan banyak perkara harus diperbetulkan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, jika mereka beraksi di Olimpik dan bermain seperti sekarang ia belum mencapai tahap untuk membawa pulang pingat walaupun baru-baru ini berjaya meraih kejuaraan Grand Prix (GP) Terbuka Mexico.

“Saya rasa paling penting ialah bagaimana untuk mempunyai keyakinan tinggi di dalam gelanggang. Pada satu ketika saya merasakan seperti tidak menikmati permainan dengan sepenuhnya kerana ada sedikit tekanan.

“Ketika memasuki gelanggang memang saya rasa tertekan kerana banyak perkara harus diperbaiki dalam corak permainan kami. Ia membuatkan kami berasa kurang selesa,” kata pemain kelahiran Pulau Pinang itu.

Berdasarkan ranking ke Olimpik Rio, Peng Soon-Liu Ying sekarang ini menduduki tangga ke-16 dengan mengumpul 39,560 mata seterusnya berada di landasan terbaik sebagai pasangan ke-12 untuk layak ke temasya berkenaan.

Peng Soon, 27, mengakui bahawa tekanan itu bukan disebabkan dia terpaksa menampung kekurangan yang dimiliki Liu Ying, sebaliknya adalah kekurangan dirinya sendiri.

“Permainan dia (Liu Ying) semakin bagus, cuma dia tidak berani untuk memberikan aksi 100 peratus kerana memikirkan mengenai pembedahan lutut yang dilakukan sebelum ini. Saya berharap dia mampu untuk terus beraksi dengan lebih berani.

“Setidak-tidaknya kejuaraan yang diraih di Mexico bulan lalu mengurangkan sedikit tekanan kami dan sekarang kami tidak perlu untuk berlatih dengan keras sebaliknya ia perlu dilakukan dengan lebih bijak,” kata Peng Soon.

Mereka akan memulakan aksi 2016 dengan menyertai Grand Prix (GP) Emas Terbuka Malaysia yang berlangsung di Pulau Pinang dari 19 hingga 24 Januari ini, sebelum bertolak ke Lucknow untuk bersaing di GP Emas Terbuka India.

Pada Olimpik London 2012 Peng Soon-Liu Ying hanya beraksi di peringkat kumpulan dan mereka tumpas ketiga-tiga perlawanan ketika bertemu Xu Chen-Ma Jin (China), Sudket Prapakamol-Saralee Thoungthongkam (Thailand) dan Chen Hung Ling-Cheng Wen Hsing (Taiwan).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:04 AM