PENG Soon (dua dari kanan) dan Liu Ying (kiri) menerima cenderahati dari Pengurus Besar Daikin Lawrence Song sambil disaksikan Lawrence Chew (kanan).
PENG Soon (dua dari kanan) dan Liu Ying (kiri) menerima cenderahati dari Pengurus Besar Daikin Lawrence Song sambil disaksikan Lawrence Chew (kanan).

Kuala Lumpur: Bukan satu tekanan buat pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon apabila ramai pihak mula mengalih tumpuan kepada mereka untuk sekurang-kurangnya menghadiahkan sebutir pingat dari Olimpik Rio.

Menurut pemain kelahiran Pulau Pinang itu, dia berasa gembira apabila ada pihak yakin dengan kemampuannya bersama Liu Ying terutama selepas mereka menjuarai Terbuka New Zealand minggu lalu.

“Saya berasa gembira dan berharap mampu menjangkau sasaran itu. Bagi saya ia bukan tekanan kerana kami memang sentiasa memberikan yang terbaik setiap kali beraksi,” katanya selepas Majlis Penajaan Syarikat Penghawa Dingin Daikin semalam.

“Saya juga dalam masa sama belum fikir untuk bersara selepas Rio kerana beranggapan masih boleh menyumbang untuk negara.”

Sebelum ini Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan yakin bukan hanya Datuk Lee Chong Wei mampu menghadiahkan pingat buat negara, malah Peng Soon-Liu Ying dan beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong juga mampu berbuat demikian.

Dalam pada itu, Liu Ying berjanji memberikan persembahan terbaik di Terbuka Malaysia minggu depan walaupun sedar bakal berdepan halangan sukar di pusingan kedua, Xu Chen-Ma Jin dari China.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 April 2016 @ 6:09 AM