LIU Ying (kanan) idam lakar kejutan di Grand Prix Terbuka Russia bersama Peng Soon.
LIU Ying (kanan) idam lakar kejutan di Grand Prix Terbuka Russia bersama Peng Soon.
Oleh Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain beregu campuran utama negara, Goh Liu Ying tekad untuk bangkit semula pada Grand Prix Terbuka Russia selepas aksi kurang memuaskan di GP Emas Terbuka Taiwan minggu lalu.

Liu Ying yang bergandingan dengan Chan Peng Soon berkata, dia berjanji untuk memberi aksi terbaik dengan melakukan beberapa kejutan pada kejohanan itu, sekali gus melupai episod menyedihkan di Taipei.

“Berdasarkan undian yang dikeluarkan saya lihat ia bukan mudah buat kami walaupun tidak banyak pasangan utama beraksi di kejohanan ini. Kami tetap perlu bertarung sebaik mungkin,” kata pemain kelahiran Melaka itu.

Pada Terbuka Taiwan, Peng Soon-Liu Ying terkandas di pusingan pertama apabila dikalahkan pilihan kedua dari China, Xu Chen-Ma Jin 21-16, 23-21.

“Saya hanya mahu memberi aksi terbaik dan jika berjaya menumpaskan pilihan pertama dari Amerika Syarikat, Phillip Chew-Jamie Subandhi kami masih lagi akan berdepan laluan sukar di separuh akhir.

“Menanti kami di separuh akhir nanti mungkin pilihan ketiga dari Russia, Vitalij Durkin-Nina Vislova, jika berjaya menumpaskan mereka barulah boleh fikir mengenai peluang untuk muncul juara di sini,” katanya kepada Arena Metro semalam.

Peng Soon-Liu Ying akan turun ke gelanggang esok bertemu pasangan tuan rumah, Anatoliy Yartsev-Evgeniya Kosetskaya pada pusingan kedua selepas mendapat kemenangan percuma pada pusingan pertama berikutan penarikan diri pasangan Russia, Gordey Kosenko-Olga Lipkina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2015 @ 5:02 AM