SAFEE (kiri) ceriakan penyokong Johor DT.
SAFEE (kiri) ceriakan penyokong Johor DT.
Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Pemain gantian Safee Sali muncul wira buat Johor Darul Ta’zim (Johor DT) apabila menjaring gol kemenangan untuk menewaskan Pulau Pinang 1-0 pada aksi tunggal Liga Super di Stadium Larkin, malam tadi.

Beraksi dalam keadaan padang basah jelas menjejaskan rentak permainan dengan gerakan tuan rumah pada awal 15 minit pertama sering disekat benteng pertahanan pelawat yang begitu berhati-hati mengawasi pergerakan Pereyra Diaz dan Juan Lucero.

Walaupun sering diasak, pelawat cuba mencuri ruang untuk melakukan serangan balas menerusi larian pantas S Kumaahran di posisi sayap kiri namun benteng pertahanan tuan rumah bingkas menyekat kemaraan pemain itu.

Skuad Harimau Selatan yang begitu dahagakan kemenangan mengundang cemas buat benteng pelawat pada minit ke-21 apabila hantaran lintang Azinee Taib ditanduk kemas Lucero namun hanya sipi dari pintu gol ketika penjaga gol, Sani Anuar Kamsani tertewas.

Seharusnya gol pertama menjelma buat tuan rumah pada minit ke-31 selepas Amirulhadi Zainal yang berada dalam posisi terbaik, merembat leret namun Muhammad Rafiuddin Roddin berjaya menendang bola keluar ketika Sani Anuar sudah tertewas.

Lucero gagal meletakkan dirinya selaku penjaring pada minit ke-34 apabila peluang terhidang dipersia-siakan selepas rembatannya terkena Sani Anuar selepas menerima umpanan Amirulhadi.

Malang buat Lucero apabila rembatan deras dari luar kotak penalti gagal menerjah jaringan pada minit ke-38 apabila sekadar singgah di tiang gol kanan pelawat ketika Sani Anuar sekali lagi tertewas.

Tanpa kelibat kapten Safiq Rahim yang tidak beraksi akibat penggantungan satu perlawanan nyata menjejaskan rentak permainan skuad Harimau Selatan apabila gagal menjana gerakan berbahaya menerusi umpanan menarik untuk mencipta jaringan.

Sebaik babak kedua bermula, Amirulhadi yang menyusup masuk ke dalam kotak penalti bertindak mengumpan bola kepada Lucero namun rembatan penyerang itu sipi dari pintu gol.

Sedar betapa tuan rumah sering mengasak untuk mencari gol, skuad bimbingan Manzor Azwira Abd Wahid mengubah corak permainan dengan lebih gemar berkampung di kawasan sendiri’ bagi menghalang setiap gerakan berbahaya anak didik Mario Gomez.

Sani Anuar menjadi duri dalam daging buat tuan rumah apabila menyelamatkan tandukan Lucero pada minit ke-81 selepas menerima bola umpanan pemain gantian Amri Yahyah.

Ketika aksi tampak berkesudahan dengan keputusan seri, Safee yang tidak dikawal ketika berlaku kekalutan dalam kotak penalti, meledak jaringan pada minit terakhir perlawanan untuk memastikan kemenangan buat tuan rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2016 @ 5:11 AM