AMIRULHADI (kiri) merembat bola ke gawang lawan.
AMIRULHADI (kiri) merembat bola ke gawang lawan.
Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Johor Darul Ta’zim (Johor DT) menang 3-0 ke atas Pahang di Stadium Larkin malam tadi sekali gus memastikan pasukan pelawat terus kekal dalam kelompok bawahan Liga Super musim ini.

Kemenangan itu penting buat skuad Harimau Selatan yang mahu menamatkan saingan pusingan pertama liga dengan rekod tanpa kalah dan terus mengekori rapat FELDA United yang masih kekal selaku peneraju apabila masing-masing mengumpul 27 mata namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan.

Tuan rumah turun tanpa perancang utama Safiq Rahim yang terpaksa diketepikan akibat kecederaan ketika sesi latihan terakhir sebelum perlawanan tetapi situasi itu tidak menghalang barisan tengah yang diterajui Amirulhadi Zainal dan Hariss Harun untuk menguasai perlawanan.

Ketika aksi memasuki minit ke-12, bola tandukan kapten Aidil Zafuan Abd Radzak hasil sepakan sudut Azammuddin Akil ditangkap kemas penjaga gol, Mohd Nasril Nourdin.

Pintu gol skuad Tok Gajah cemas pada minit ke-17 apabila gerakan menarik Aidil Zafuan-Jorge Pereyra Diaz-Juan Martin Lucero hampir menghasilkan jaringan tetapi Nasril sempat menepis keluar.

Pelawat cuba bangkit pada minit terakhir babak pertama menerusi cubaan A Salomon Raj apabila hampir memerangkap penjaga gol Farizal Marlias yang terpaksa melayangkan badan menepis bola keluar.

Selepas bertali arus mengasak kubu pelawat akhirnya gol yang dinanti menjelma pada minit ke-54 apabila bola hantaran pemain gantian Amri Yahyah membolehkan Amirulhadi yang tidak dikawal menolak masuk menewaskan Nasril.

Selang dua minit kemudian, Diaz hampir menambah jaringan menerusi tandukan namun Nasril sudah bersedia untuk menyelamatkan gawangnya.

Tindakan Nasril menjatuhkan Amri pada minit ke-62 mengundang padah apabila pengadil Zulkifli Ahmad tidak teragak-agak menghadiahkan sepakan penalti dan Lucero mudah menyempurnakannya untuk meletakkan tuan rumah selesa dengan jaringan 2-0.

Tuan rumah terus menyerang kubu pelawat dan pada minit ke-65, Johor DT memperoleh gol ketiga menerusi Lucero.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mei 2016 @ 9:44 AM