GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Agensi

Beijing: Penjenayah di China mungkin tidak boleh berlindung di sebalik 1.3 bilion penduduk negara itu apabila rancangan polis untuk memperkenalkan kereta peronda lengkap dengan perisian mengecam wajah berjaya dilaksanakan.

Penyelidik di Makmal Kelengkapan Polis University Elektronik Sains dan Teknologi China kini dalam peringkat kajian untuk membangunkan kereta peronda SUV berteknologi tinggi yang akan dilengkapkan dengan kamera 360 darjah di bumbungnya dan berupaya mengimbas setiap wajah dalam jarak 60 meter.

Hasil imbasan itu kemudian akan dibandingkan dengan pangkalan data polis. Jika ia sama, sistem itu akan serta-merta memaklumkan kepada pemandu kereta peronda itu, walaupun ketika ia dalam keadaan bergerak selaju 120 kilometer sejam.

Sistem itu juga boleh mengenal pasti nombor plat dan jenis kereta dan ia hanya memerlukan tiga suku daripada wajah untuk pengecaman positif.

Teknologi futuristik itu didedahkan di Chengdu minggu lalu dan akan diuji di Hangzhou apabila sidang kemuncak G-20 diadakan lewat tahun ini.

China bagaimanapun bukan negara pertama mencuba teknologi itu. Dalam usaha menjadikannya negara paling selamat di dunia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan tahun lalu, ia akan membangunkan kereta peronda berteknologi tinggi seperti itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:02 AM