Pensyarah kanan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Noorhafiza Muhammad.
Pensyarah kanan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Noorhafiza Muhammad.

Kangar: Pensyarah kanan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dr Noorhafiza Muhammad mengharumkan nama negara apabila meraih anugerah tertinggi Pemenang Emas Antarabangsa di European Union of Woman Inventors & Innovators Network (EUWIIN) di London semalam.

Penyelidik di Pusat Kecemerlangan Teknologi Hijau dan Geopolimer (CEGeoGTech) UniMAP itu berjaya menarik minat juri menerusi penyelidikannya mengenai Laser Surface Modification Of Biomaterials For Coronary Stent Applications bagi membantu golongan yang menghidapi penyakit koronari.

"Penyelidikan bertujuan menyelamatkan pengidap penyakit jantung di Malaysia yang semakin meningkat dan membabitkan penstrukturan permukaan jaringan logam menggunakan laser," katanya menerusi kenyataan dikeluarkan UniMAP.

EUWIIN yang mengumpul saintis wanita dalam pelbagai bidang penyelidikan disertai lebih 20 negara antaranya United Kingdom, Ireland, Finland, Sweeden, Jerman, Iceland, Switzerland, Latvia, China, Taiwan dan Bahrain.

Sementara itu Naib Canselor UniMAP, Datuk Brig Jen Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin berkata Dr Noorhafiza antara penyelidik wanita UniMAP yang aktif membuktikan kaum wanita mampu mencapai kejayaan cemerlang.

Turut menyertai pertandingan itu penyelidik muda dari dua sekolah angkat UniMAP iaitu Sekolah Menengah Sains (SMS) Hulu Selangor dan Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Rawang.

Penyelidik SMS Hulu Selangor dinobatkan sebagai Pemenang Platinum Keseluruhan Belia. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Oktober 2015 @ 7:41 PM