TENTERA Myanmar ketika latihan ketenteraan 'Sin Phyu Shin' di tepi pantai wilayah Ayeyarwaddy pada Februari 2018. FOTO AFP
TENTERA Myanmar ketika latihan ketenteraan 'Sin Phyu Shin' di tepi pantai wilayah Ayeyarwaddy pada Februari 2018. FOTO AFP
AFP

YANGON: Tentera Myanmar membelanjakan ratusan juta dollar (ringgit) bagi membeli kelengkapan ketenteraan, termasuk jet penggempur, kenderaan berperisai dan kapal perang.

Berikutan sekatan pembelian senjata oleh Eropah dan Amerika Syarikat berikutan dakwaan jenayah perang oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Myanmar berpaling kepada sekutunya iaitu China, Russia dan India.

Terbaru, Amnesty International dalam laporannya semalam, mendakwa tentera Myanmar bertanggungjawab melakukan keganasan terhadap etnik Rakhine yang beragama Buddha selepas membunuh ribuan etnik Rohingya manakala hampir sejuta menjadi pelarian.

Amerika dan Eropah tidak menjual senjata berikutan sekatan ekonomi terhadap Myanmar, namun China yang menyediakan perlindungan diplomatik kepada Myanmar di PBB menjadi sumber utama bekalan senjata.

MYANMAR membeli jet penggempur JF-17 bernilai AS$25 juta sebuah. FOTO Agensi
MYANMAR membeli jet penggempur JF-17 bernilai AS$25 juta sebuah. FOTO Agensi

Menurut laporan Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (SIPRI) menganggarkan sejak 2013 hingga 2017, China membekalkan 68 peratus persenjataan Myanmar.

Penyelidik kanan untuk Asia-Pasifik SIPRI, Siemon Wezeman berkata, ia termasuk kenderaan berperisai, peluru berpandu bumi ke udara, radar, dron peninjau.

Menurutnya, Myanmar juga memesan jet penggempur JF-17 keluaran Sino-Pakistan bernilai AS$25 juta (RM 104.87 juta) sebuah yang dipamerkan ketika pertunjukan udara Tentera Udara Myanmar pada hujung 2018.

“Pesan apa saja, China akan membekalkannya dengan harga berpatutan,” katanya.

Russia muncul sebagai antara rakan baharu Myanmar yang rapat dan bulan lalu, pemerintah tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, melawat kilang pengeluar helikopter Mi 171 du Ulan Ude, Siberia.

JET penggempur Su-30 buatan Russia yang ditempah Myanmar. FOTO  Agensi
JET penggempur Su-30 buatan Russia yang ditempah Myanmar. FOTO Agensi

Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu, mengunjungi Myanmar pada Januari 2018, untuk perjanjian pembelian enam jet penggempur Su-30 berharga AS$200 juta (RM838.93 juta) dan jet terbabit bakal menjadi tonggak tentera udara Myanmar.

Bagi mengimbangi pengaruh China, India juga menjalin hubungan pertahanan dengan Myanmar serta mengelak daripada kritikan bagi isu Rohingya.

Menurut penganalisis keselamatan, Anthony Davis, India bercadang menjual kelengkapan tentera laut serta latihan bersama ketenteraan.

“India pada dasarnya mahu memodenkan tentera laut Myanmar,” katanya.

Min Aung Hlaing juga melakukan beberapa kunjungan ke India sejak beberapa tahun lalu.

Israel sudah lama ada hubungan baik dengan Myanmar, malah Myanmar adalah antara sekutu terawal Israel di Asia.

Min Aung Hlaing yang mngunjungi Israel pada 2015, melawat muzium Holokus dan pembekal pertahanan.

Pada April 2017, Facebook tentera laut Myanmar menyiarkan gambar bot peronda buatan Israel Dvora Mk 3 selaju 45 knot dengan kata-kata ‘Selamat menyertai Tentera Laut Myanmar.!!!’

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Mei 2019 @ 8:37 AM