Fatimah Syarha Mohd Noordin

Menurut Persatuan Psikologi Amerika, pedofilia berasal daripada perkataan Greek: paidos = child and philia = friendly love.

Pedofilia dianggap sebagai desakan yang mendalam dan berterusan terhadap kanak-kanak prabaligh.

Dalam Konvensyen Hak Kanak-Kanak, artikel satu, definisi kanak-kanak adalah seseorang di bawah umur 18 tahun, melainkan undang-undang di sesebuah negara meletakkan usia rasmi untuk permulaan usia dewasa.

Konsultan Psikologi Klinikal, Azlina Roszy Mohamad Ghaffar berkata, pedofilia adalah penyakit mental.

Beliau yang banyak berkongsi info mengenai isu pedofilia menyatakan, tidak semua pedofilia melakukan kesalahan seksual, namun desakan dalamannya boleh menghampiri ke arah kesalahan seksual.

Katanya, sama seperti ayat al-Quran yang melarang zina, malah menghampirinya juga tidak boleh.

Dalam isu ini, pencabul kanak-kanak didefinisikan oleh tindakan mereka. Pedofil didefinisikan oleh desakan nafsu syahwat mereka.

Hubungan seks antara kanak-kanak dengan orang dewasa adalah penderaan, eksploitasi, tercela dan boleh dihukum mengikut undang-undang.

Menurut laman web child molestation prevention, penderaan kanak-kanak adalah apabila pemangsa atau pelaku dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada kanak-kanak sama ada secara fizikal, psikologi (mental dan emosi), seksual atau pengabaian.

Ia adalah jenayah penderaan kanak-kanak. Sementara itu, pencabulan kanak-kanak (child molestation) adalah perlakuan menyentuh kanak-kanak secara seksual.

Istilah penderaan seksual pula adalah aktiviti seksual yang tidak dikehendaki di mana pelaku atau pemangsa menggunakan paksaan, ugutan, ancaman atau mengambil kesempatan ke atas mangsa yang tidak boleh memberi keizinan.

Semua kes jenayah seksual terhadap kanak-ka-nak di bawah usia 16 tahun dianggap tanpa keizinan dan dikira sebagai rogol.

Sekalipun ia berlaku dengan kerelaan, anak perempuan bawah umur yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela, hatta untuk perkahwinan sekalipun dalam konteks hari ini.

Penderaan seksual kanak-kanak boleh berlaku dalam pelbagai bentuk antaranya panggilan lucah, mesej teks atau interaksi digital, meraba, gomol, cium dan sebagainya, tetapi tidak membabitkan penetrasi

Selain itu, mendedahkan anggota sulit kepada kanak-kanak, masturbasi (melancap) di hadapan kanak-kanak, persetubuhan, menerbitkan, memiliki, berkongsi imej atau video pornografi kanak-
kanak, pemerdagangan seksual kanak-kanak dan apa sahaja tindakan seksual yang mendatangkan kemudaratan kepada kanak-kanak.

Menurut Persatuan Psikologi Amerika lagi, penderaan dan pengabaian kanak-kanak boleh terjadi dalam bentuk berikut:

l Pengabaian iaitu kegagalan memenuhi keperluan asas kanak-kanak misalnya tidak menyediakan makanan yang mencukupi, perlindungan, rumah, pemantauan asas, keperluan perubatan asas atau rawatan penyakit mental, pendidikan yang mencukupi atau keselesaan emosi.

l Penderaan fizikal iaitu merujuk kepada kecederaan secara sengaja terhadap kanak-kanak seperti memukul, tumbuk, sepak terajang atau apa sahaja tindakan yang mendatangkan kecederaan fizikal.

l Penderaan psikologi atau emosi iaitu merujuk kepada pelbagai perlakuan seperti ugutan, ditakut-takutkan, kritikan, sering direndahkan, berasa bersalah, penderaan ekonomi, diberitahu apa yang boleh atau tidak boleh dilakukan yang menyebabkan kanak-kanak berasa takut, cemas, rendah diri, benci diri sendiri atau membenci kehidupannya, menjadi pemarah, sukar bergaul dan lain-lain.

l Penderaan seksual dengan pujukan, paksaan atau ugutan kepada kanak-kanak untuk terbabit dengan aktiviti seksual atau meniru perlakuan seksual.

Sehubungan itu, ibu bapa hendaklah berhati-hati serta mengambil langkah keselamatan antaranya:

l Ambil tahu sekiranya pencabul tinggal di kawasan perumahan yang sama.

l Awasi aktiviti kokurikulum anak.

l Jangan tinggalkan anak bersendirian walaupun ada orang dewasa yang kurang dikenali.

l Pasang kamera litar tertutup di rumah sekiranya ada pengasuh.

l Pastikan anak berasa selamat dari sudut emosi dan fizikal.

l Ajar anak mengetahui mengenai sentuhan sama ada berbahaya, selesa, jahat dan rahsia.

l Ambil perhatian sekiranya anak tidak bersikap seperti biasa dan percayakan mereka.

Penulis ialah pendakwah

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 10:12 AM