ANTARA aktiviti yang disediakan menerusi pameran.
ANTARA aktiviti yang disediakan menerusi pameran.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Jenayah siber dalam kalangan kanak-kanak dan remaja sememangnya membimbangkan ibu bapa kerana ada kalanya mereka tidak menyedari anak menjadi mangsa jenayah alam maya.

Ramai ibu bapa keliru dan meragui sejauh mana pembabitan anak dalam talian dan keselamatan serta aktiviti yang mereka lakukan di alam maya. Ada yang dibuli menerusi komen dan hinaan, tidak kurang juga diintai, diganggu, dirangsang, didera dan dieksploitasi secara seksual.

Menurut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), hampir 80 peratus kes rogol oleh pemangsa seks yang dilaporkan di negara ini sejak dua tahun lalu membabitkan persahabatan di alam maya malah majoriti mangsa ini berumur bawah 18 tahun.

Cubaan merangsang atau ‘grooming’ kanak-kanak dan remaja untuk menjadi mangsa seksual semakin meruncing serta membimbangkan berikutan semakin ramai pemangsa seksual ini menggunakan identiti palsu di Internet apabila memburu mangsa.

Menyedari perkara itu, Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) baru-baru ini melancarkan video ‘Fight Against Predators’ sebagai usaha berterusan dalam menganjurkan Internet yang lebih selamat untuk setiap orang menerusi program Digi CyberSAFE.

Video itu memberi perhatian kepada kemungkinan anak anda sedang dijejaki dan boleh menjadi mangsa kepada pedofilia serta turut mendedahkan cara pemangsa ini menggunakan ruang sembang dan media sosial untuk memancing mangsa.

PENDEDAHAN bahaya Internet boleh bantu anak lindungi identiti diri.
PENDEDAHAN bahaya Internet boleh bantu anak lindungi identiti diri.

Ketua Komunikasi dan Kelestarian DiGi Quah Yean Nie berkata, sementara kita menikmati pelbagai manfaat daripada Internet, adalah penting untuk setiap orang sama ada ibu bapa dan kanak-kanak sedar potensi risiko seperti buli dan rangsangan siber serta mengambil langkah keselamatan memandangkan kanak-kanak kini mendapat akses Internet pada usia lebih awal.

Katanya, setiap tahun pihaknya bekerjasama dengan kanak-kanak sekolah dan pendidik untuk menyebarkan mesej keselamatan siber dalam menggalakkan tabiat dalam talian secara bertanggungjawab.

“Kami berharap video ini dapat memberi satu lagi sumber kesedaran dan alat untuk ibu bapa dan pendidik memulakan dialog bersama anak.

“Ketika kebanyakan orang mahu percaya Internet adalah selamat dan boleh dipercayai, mereka tidak menyedari maklumat peribadi amat mudah diakses tanpa perlindungan privasi yang betul.

“Bilangan kanak-kanak dan remaja yang menjadi mangsa rangsangan siber hingga membawa kepada kes rogol amat membimbangkan. Seperti yang dipaparkan dalam video itu, mereka begitu mudah menjadi sasaran pemangsa dengan hanya meneliti maklumat peribadi seperti tempat tinggal, sekolah, aktiviti dilakukan dan kegemaran yang dimuat naik di media sosial.

“Dari situ, pemangsa mula membina hubungan emosi dengan harapan mangsa mempercayainya. Ramai kanak-kanak dan remaja langsung tidak sedar mereka sedang dirangsang atau apa yang berlaku itu adalah penderaan,” katanya ketika ditemui pada pameran Digi CyberSAFE sempena Pameran Buku Big Bad Wolf di MIECC Mines, baru-baru ini.

ANTARA aktiviti yang disediakan menerusi pameran.
ANTARA aktiviti yang disediakan menerusi pameran.

Menerusi pameran Digi CyberSAFE, ibu bapa dan murid sekolah berpeluang mengikuti pelbagai aktiviti hiburan pendidikan berkaitan keselamatan dalam talian menerusi suasana pembelajaran menyeronokkan.

Antara aktiviti yang dianjurkan seperti Predators’ Wall of Shame bagi mempelajari mengenai pemangsa dalam talian, karakter mereka dan cara menyediakan diri dengan pengetahuan berkaitan untuk berdepan serangan pemangsa.

Selain itu, aktiviti nyah kod mesej tersembunyi membolehkan pengunjung membezakan antara kebaikan dan keburukan Internet seperti mempelajari cara mengenalpasti mesej kebencian dan memilih sikap positif di alam maya.

Menurut Quah, ramai penyumbaleweng dalam kalangan masyarakat hari ini mencari mangsa kanak-kanak untuk pencabulan seksual dengan menggunakan laman media sosial.

Katanya, pemangsa akan menghabiskan masa untuk mempelajari apa yang diminati mangsa daripada profil dalam talian, kemudian menggunakan maklumat itu untuk cuba mendekatinya.

“Lebih serius apabila pemangsa mengetahui tempat tinggal mangsa, tempat mereka selalu menghabiskan masa dan rutin harian hinggalah membawa kepada perkara tidak diingini.

“Pemangsa akan cuba membuat baik, menjadi teman rapat, memberi pujian dan hadiah hingga mangsa memberi sepenuh kepercayaan padanya. Ketika itu, pemangsa akan mula ambil kesempatan dengan mengasingkan mangsa dengan rakan dan keluarga hingga mangsa rasa tidak boleh berpisah dengannya.

“Pada peringkat ini, mereka sebenarnya menjadi sasaran mudah untuk pemangsa termasuk dipujuk atau dipaksa menghantar gambar tubuh badan dan diajak melakukan hubungan seksual dan paling membimbangkan dirogol.

“Sekiranya mangsa menyedari mereka mula dirangsang pemangsa, mereka harus segera melaporkannya kepada ibu bapa atau orang dewasa yang dipercayai atau membuat laporan polis dengan segera,” katanya.

ANTARA aktiviti yang disediakan menerusi pameran.
ANTARA aktiviti yang disediakan menerusi pameran.

Sementara itu katanya, sebagai ibu bapa, kita seharusnya menyedari anak-anak zaman kini menganggap dunia siber sebagai alam realiti, yang mana melalui dunia siber inilah mereka berkomunikasi dengan rakan, mencari maklumat dan bermain permainan siber.

Situasi ini menyebabkan apa yang berlaku di alam siber boleh mempengaruhi emosi dan memberi kesan kepada anak hingga boleh membuatkan mereka berasa gembira, sedih atau kecewa.

Walaupun ia berlaku di alam siber tetapi emosi yang melanda anak adalah nyata seperti yang dialami di alam realiti maka ibu bapa harus berupaya untuk memahami dan menangani situasi ini seperti di alam realiti juga.

Tugas ibu bapa

Antara peranan ibu bapa dalam memastikan keselamatan siber anak ialah:

1. Bagi anak berusia tujuh tahun ke bawah

• Hadkan masa melayari Internet kepada setengah jam sehari dan di bawah pengawasan ibu bapa.

• Gunakan perisian kawalan ibu bapa untuk menyekat semua laman kecuali yang dirasakan selamat.

• Untuk video, pilih aplikasi YouTube untuk kanak-kanak

2. Umur lapan hingga 12 tahun

• Sekat semua komunikasi daripada sesiapa yang tiada dalam senarai hubungan yang diluluskan.

• Jangan benarkan mereka memuat naik pos ke profil peribadi, blog atau laman awam tanpa pengawasan.

• Pastikan meletakkan enjin carian yang selamat untuk kanak-kanak

• Ajar mereka untuk menghormati orang lain dalam di dunia maya dan berfikir dua kali sebelum menulis di Internet.

3. Umur 13 hingga 15 tahun

• Hadkan masa senggang untuk melayari Internet kepada dua jam sehari.

• Urus tetapan privasi dan sekuriti dalam laman sosial

• Kongsi dengan anak tentang bahaya buli siber dan penyelesaian bersesuaian.

• Semak penggunaan Internet anak dan pantau pos atau kamera web.

• Berbincang dengan anak tentang pornografi Internet dan keganasan dalam permainan video.

4. Umur 16 tahun ke atas

• Kongsi dengan anak tentang pemangsa dan perangsang seksual dalam talian dan perjumpaan di luar dengan individu tidak dikenali.

• Benarkan anak memilih rakan yang boleh diterima tapi pastikan ibu bapa tahu identiti mereka.

• Sekat anak daripada memuat turun perisian cetak rompak, filem, muzik atau permainan untuk mengelakkan ‘malware’.

• Semakin anak membesar, beri kepercayaan kepada mereka untuk membuat perkara yang betul dan galakkan mereka memberi bimbingan kepada adik-beradik yang lebih kecil.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 12:30 AM