Batuk dan selesema, penyakit yang kerap berlaku. Sebagai ibu bapa, anda perlu mengetahui teknik mengendalikan batuk dan selesema.
Jika anda sendiri yang menjaga anak, anda perlu tahu bila perlu berjumpa doktor.
Ada beberapa faktor yang anda perlu ketahui apabila memberi anak ubat batuk yang dibeli tanpa arahan doktor (over-the-counter - OTC). Ubat batuk OTC tidak boleh sama sekali diberi kepada kanak-kanak berumur di bawah empat tahun.
Ada beberapa kajian yang menunjukkan ubat OTC tidak membantu sama sekali malah ada kemungkinan terjadinya kesan sampingan serius pada kanak-kanak kecil.
Pastikan anda sentiasa membawa anak berjumpa doktor jika dia menghidap batuk atau selesema dan beri ubat seperti yang diarahkan. Pakar pediatrik anak anda juga akan memberi nasihat mengenai cara lain untuk mengendalikan simptom selesema.
Tahukah anda?
Keberkesanan ubat batuk OTC sudah dikaji dalam kalangan orang dewasa dan bukan kanak-kanak. Tiada sebarang bukti yang menunjukkan kanak-kanak mendapat kesan yang sama daripada ubat OTC seperti orang dewasa.
Hanya ada bukti lemah yang menunjukkan ubat batuk OTC membantu orang dewasa. Tiada ramuan di rumah atau ubat batuk OTC yang boleh mempercepatkan pemulihan anak anda. Selesema lazimnya berlarutan selama tujuh hingga 10 hari. Walaupun beberapa ubat OTC melegakan simptom, keberkesanannya masih dipertikai.
Apakah kandungannya?
Ubat batuk OTC biasanya mengandungi campuran ramuan dengan satu ramuan aktif yang utama, khususnya:
1. Dextromethorphan atau DM (terdapat di dalam ubat penahan batuk)
2. Guaifenesin (terdapat di dalam ubat batuk ekspektoran)
3. Pseudoephedrine dan phenylephrine (terdapat di dalam dekongestan)
4. Brompheniramine, chlorpheniramine maleate dan diphenhydramine (terdapat di dalam beberapa antihistamin)
Pengetahuan mengenai ramuan aktif yang terkandung dalam ubat batuk dapat membantu anda mengelak daripada memberi anak dos berlebihan.
Perkara yang perlu diberi perhatian
Jika anda mempunyai anak yang lebih besar dan memilih untuk menggunakan ubat batuk OTC, sentiasa pastikan anda mengikut arahan keselamatan yang diberikan. Sebelum menggunakannya, anda mungkin ingin mendapatkan nasihat pakar pediatrik.
Jika anda sudah mendapat kepastian, berikut beberapa perkara yang perlu diberi perhatian apabila mengguna ubat batuk OTC, khususnya:
• Dos - Jangan sekali-kali memberi dos yang lebih tinggi daripada disarankan
• Kekerapan - Jangan sekali-kali mengurangkan tempoh di antara dos
• Mencampurkan dengan ubat lain - Jangan sekali-kali menggabungkan atau mencampurkan dengan ubat yang diarah doktor atau ubat OTC lain kerana anak anda mungkin mengambil sesuatu ramuan lebih daripada sepatutnya.
• Jauhkan daripada kanak-kanak - Sentiasa pastikan anak anda tidak boleh mengambil ubat OTC atau ubat-ubat lain dengan sendiri.
Sekiranya anda tidak akur dengan salah satu daripada perkara di atas, anda mungkin membahayakan anak anda, justeru pastikan anda sentiasa mengawasinya!
Tanda bahaya
Bagaimanapun, sekiranya anak anda sakit dan menunjukkan tanda bahaya berikut, anda perlu membawanya berjumpa pakar pediatrik dengan serta-merta:
• Dia lesu dan tidak memberi tindak balas yang baik
• Dia mengadu dada berasa ketat atau sakit
• Nafasnya bunyi berdehit atau sukar bernafas
• Dia asyik menarik telinganya atau mengadu sakit telinga
• Tidak membuang air kecil lebih daripada lapan jam
• Terdapat darah di dalam kahak atau air liurnya
Sekiranya bayi kecil anda sakit, bawa dia berjumpa pakar pediatrik serta-merta jika terdapat tanda berikut:
• Lampinnya masih kering dalam tempoh enam hingga lapan jam, jika dia menangis tanpa mengeluarkan air mata, matanya cengkung atau bibirnya kering.
• Dia meragam dan tidak boleh ditenangkan dengan cara biasa (contohnya menyanyi, buaian atau memberi puting kosong).
• Dia demam dengan suhu 38 darjah Celsius atau lebih dan berusia tiga bulan atau kurang.
• Demam lebih daripada tiga hari.
Perkara terbaik perlu dilakukan
Penjagaan yang lembut dan penuh kasih sayang selalunya sangat berkesan. Semua kanak-kanak sakit suka kalau mendapat penjagaan yang lembut dan penuh kasih sayang. Walaupun ia tidak merawat batuk mereka, ia pasti akan membuat mereka rasa lebih sihat dan selesa.
Anda perlu juga memastikan dia cukup hidrasi - teruskan penyusuan susu ibu bagi bayi di bawah usia 12 bulan. Kanak-kanak lebih besar perlu minum lebih banyak air, jus yang cair atau bubur. Jika dia menghadapi kesukaran mengambil makanan seperti biasa, berikan makanan lembut seperti puding, sup ayam, bubur.
Sekiranya hidungnya tersumbat, ada beberapa cara untuk memberi kelegaan. Anda boleh menggunakan titisan atau semburan saline hidung untuk kanak-kanak kecil atau picagari bebuli untuk membersihkan hidung bayi.
Anda juga boleh menggunakan alat pelembap kabus sejuk untuk menambah kelembapan udara. Ini membantu memudahkan dia bernafas jika hidungnya tersumbat. Hanya pastikan alat pelembap adalah bersih dan gunakan dengan cermat.
Artikel ini sumbangan program Pengasuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kolaborasi bersama rakan kongsi pakar: Persatuan Pemakanan Malaysia, Persatuan Obstetrik dan Ginekologi Malaysia, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Persatuan Psikologi Klinikal Malaysia, Persatuan Psikiatri Malaysia, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara Malaysia, Persatuan Tadika Malaysia dan Persatuan Pengasuh Berdaftar Malaysia.
Pendapat dalam artikel ini ialah pandangan penulis. Bagi maklumat lanjut dan membaca majalah-e Pengasuhan Positif, sila layari www.mypositiveparenting.org.