PENGAYUH beca meneguk air disebabkan cuaca panas, Khamis lalu. FOTO fail NSTP Muhamad Zuhairi Zuber
PENGAYUH beca meneguk air disebabkan cuaca panas, Khamis lalu. FOTO fail NSTP Muhamad Zuhairi Zuber
Rudy Syareme Sheriffudin


Bayan Lepas: Sepuluh kes akibat cuaca panas melampau direkodkan di seluruh negara sehingga semalam termasuk tujuh kes kelesuan haba, satu kes strok haba dan dua kes pitam.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, Kedah mencatatkan jumlah kes tertinggi iaitu enam kes kelesuan haba dan dua kes pitam akibat cuaca panas manakala Perlis mencatatkan satu kes kelesuan haba dan Perak dengan satu kes strok haba.

Beliau berkata, sebelum ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengeluarkan garis panduan di laman web dan meminta orang ramai untuk minum air yang mencukupi selain kurangkan aktiviti fizikal di luar dan mengenakan pakaian perlindungan yang sesuai.

Katanya, orang ramai dinasihati agar minum air yang mencukupi kerana kekurangan air dalam badan adalah faktor asas yang menyumbang kepada kelesuan haba dan menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan diserang strok haba.

Sementara itu, dua lagi kematian akibat demam denggi dicatatkan minggu lalu menjadikan jumlah kematian akibat denggi sejak 1 Januari hingga 21 Mac lalu seramai 85 orang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 6:14 PM