PENG Soon (kiri) dan Liu Ying bermula agak teruk pada set pertama.
PENG Soon (kiri) dan Liu Ying bermula agak teruk pada set pertama.
myMetro

Kuala Lumpur: Pilihan ketiga Terbuka New Zealand Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dipaksa bermandi peluh pada pusingan pertama sebelum mencatat kemenangan ke atas Ko Chi Chang-Hsin Tien Chang di Terbuka New Zealand semalam.

Peng Soon-Liu Ying mara ke pusingan kedua selepas menang straight set, 22-20, 21-15 di Pusat Kejohanan North Shore, Auckland.

Menurut Liu Ying, mereka bermula dengan agak teruk pada set pertama sebelum mendapat rentak set berikutnya bagi memenangi perlawanan berkenaan.

“Kami masih belum dapat menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang pada set pertama yang sepatutnya menang mudah. Selepas itu di set kedua baru kami berasa sedikit lega dengan corak permainan,” katanya ketika dihubungi Arena Metro semalam.

Menanti mereka pada pusingan kedua ialah pasangan Australia, Matthew Chau-Gronya Somerville yang sebelum itu menjinakkan wakil tuan rumah, Oliver Leydon Davis-Susannah Leydon Davis 21-15, 21-17.

“Esok (hari ini) lawan tidak sebaik hari ini (semalam) tapi kami harus beraksi mengikut rentak sendiri. Saya harap kami mampu mara ke separuh akhir dan mengejutkan pasangan Korea Selatan Ko Sung Hyun-Kim Ha Na yang juga pilihan utama kejohanan,” kata Liu Ying.

Sementara itu, perseorangan lelaki negara, Soo Teck Zhi dan Goh Soon Huat mara ke pusingan ketiga.

Teck Zhi yang diletakkan pilihan ke-16 mengalahkan Low Pit Seng dari Australia 21-8, 21-6, manakala Soon Huat menumpaskan Chi Yu Jen (Taiwan) 21-17, 21-18.

Bagaimanapun, Liew Daren terpaksa akur dengan pilihan utama dari Korea Selatan Son Wan Ho 14-21, 17-21.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 7:57 AM