PESERTA catur Gegar Terengganu yang berlangsung di SKSB petang semalam. -FOTO KGCT.
PESERTA catur Gegar Terengganu yang berlangsung di SKSB petang semalam. -FOTO KGCT.
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kejohanan Catur Gegar Terengganu yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Seri Budiman (SKSB), dekat sini yang berakhir petang semalam mencetuskan revolusi baharu apabila berjaya menarik minat 450 peserta dari dalam dan luar negara untuk menguji kemahiran masing-masing.

Pertandingan yang julung kali diadakan anjuran SKSB dengan kerjasama Kelab Geng Catur Terengganu (KGCT) yang menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM6,500 itu turut menarik minat peserta dari Indonesia dan Thailand.

Pengerusi kejohanan yang juga Guru Besar SKSB, Salleh @ Mokhtar Ismail berkata, beliau tidak menduga kejohanan yang dibahagikan kepada lima kategori itu berjaya menarik minat peserta luar negara selain peserta tempatan.

"Kejohanan terbesar ini diadakan untuk mencungkil bakat baharu terutama dalam kalangan murid dan pelajar sekolah sebagai persediaan untuk menyertai kejohanan di peringkat Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM).

"Tapi saya tidak menyangka sambutan begitu menggalakkan lebih-lebih lagi ada penyertaan dari luar negara, mereka begitu teruja, ini mungkin disebabkan kejohanan catur berskala besar kurang dianjurkan di Pantai Timur," katanya ketika ditemui.

Johan Kategori Terbuka Ahli disandang bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Dungun, Dr Nor Azmi Mohd Nor manakala Arif Saragih dari Indonesia menjuarai Kategori Terbuka Bukan Ahli.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 12:21 PM