Sevia menunjukkan peralatan SMSParkir, Enforcement Unit (kanan) dan Mobile Printer (kiri) yang akan digunakan anggota Penguatkuasa MPJBT berkuatkuasa pada 1 April 2016 di  parkir di kawasan MPJBT. FOTO Zain Ahmed
Sevia menunjukkan peralatan SMSParkir, Enforcement Unit (kanan) dan Mobile Printer (kiri) yang akan digunakan anggota Penguatkuasa MPJBT berkuatkuasa pada 1 April 2016 di parkir di kawasan MPJBT. FOTO Zain Ahmed
Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru: Sekumpulan penyelidik Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya membangunkan kaedah pembayaran dan penguatkuasaan pintar berasaskan infrastruktur ICT terkini menerusi pelaksanaan sulung sistem SMSParkir UTM.

Sistem terbaru itu antara usaha UTM dalam meningkatkan keberkesanan operasi pengurusan tempat meletak kenderaan dengan penggunaan telefon mudah alih, selain peranti berkenaan menjadi keperluan seluruh rakyat.

Ketua Projek yang juga Timbalan Pengarah (Inovasi), Prof Dr Sevia M Idrus berkata, projek enam tahun itu bakal dilaksanakan di kawasan Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) pada April ini.

"Sistem parkir baharu dan berevolusi ini akan dilaksanakan di kawasan parkir di bawah MPJBT yang juga majlis perbandaran pertama akan menggunakan produk UTM ini.

"Sebaik dilaksanakan, kira-kira 20,000 petak parkir akan terbabit dengan projek ini sebelum bilangannya akan ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Beliau berkata, sistem yang dibangunkan itu membolehkan orang awam membayar parkir menggunakan sistem khidmat pesanan ringkas (SMS) ataupun melalui aplikasi mudahalih.

"Ia mengelakkan kesulitan pembayaran menggunakan kupon dan ia adalah suatu usaha UTM dalam meningkatkan keberkesanan operasi pengurusan tempat letak kereta menerusi telefon mudahalih.

"Bayaran tempat letak kereta pula melalui telefon mudah alih yang akan dilaksanakan bersama beberapa syarikat telco menerusi penggunaan tambah nilai mengikut kadar ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 3:23 PM