JENNY Tan memegang pintu bilik tidur yang dipecahkan oleh pencuri yang memasuki rumahnya di Taman Dahlia. FOTO Amran Hamid
JENNY Tan memegang pintu bilik tidur yang dipecahkan oleh pencuri yang memasuki rumahnya di Taman Dahlia. FOTO Amran Hamid
Muhaamad Hafis Nawawi


Alor Setar: Tindakan pantas seorang wanita menghubungi jiran selepas menyedari kediamannya di Taman Dahlia Fasa 6, Jalan Lencong Barat, di sini, dipecah masuk menyebabkan dua lelaki ditahan orang ramai sementara seorang lagi berjaya melarikan diri.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, mangsa yang ingin dikenali Jenny Tan, 39, tinggal berseorangan di rumahnya sebelum terdengar bunyi bising di belakang rumah.

Jenny berkata, dia yang mengesyaki rumahnya dipecah masuk terus menghubungi jiran meminta bantuan.

“Malah ketika itu saya yang ketakutan hanya menutup badan dengan selimut sementara perompak terbabit mengumpil pintu bilik tidur dan terus menggeledah barang.

“Mujur tidak lama kemudian jiran yang datang menekan loceng pintu rumah menyebabkan lelaki terbabit panik dan terus melarikan diri,” katanya.

Menurutnya, dalam kejadian itu dua lelaki berjaya ditahan sementara seorang lagi berjaya melarikan diri.

“Lebih mengejutkan lelaki berusia 38 tahun yang ditahan itu juga adalah penduduk taman ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan mengesahkan penahanan dua lelaki terbabit oleh orang awam yang kemudian diserahkan kepada pihak polis.

Menurutnya, barangan dicuri suspek iaitu kamera jenama Canon, komputer riba, telefon bimbit, loket, pembesar suara komputer riba dan wang tunai RM1,500 turut berjaya ditemui semula.

“Seorang daripada suspek mengalami kecederaan di muka ketika bergelut dengan orang ramai dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk menerima rawatan.

“Kita sedang memburu seorang lagi suspek yang berjaya melarikan diri dan kedua-duanya direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Mac 2016 @ 1:28 PM