TIGA protege Mentor Milenia harap dapat tempat di hati peminat industri hiburan tanah air.
TIGA protege Mentor Milenia harap dapat tempat di hati peminat industri hiburan tanah air.

FATIN FARHANA JAPRE ucap tahniah kepada protege Mentor Milenia akhir iaitu Fareez, Qody dan Wanie.

Tahniah kepada Fareez, protege kepada Hazama yang menjuarai program Mentor Milenia sekali gus membawa pulang RM100,000 di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 6 Mac lalu. Di tempat kedua dan ketiga adalah protege Black, Qody meraih wang tunai RM50,000 dan tempat ketiga, Wanie meraih RM20,000 berserta trofi.

Fareez (Muhammad Fareez Hazwan), 18, berkata dia sendiri tidak menyangka dinobatkan juara Mentor Milenia 2016. Siapa sangka tuah berpihak kepada anak kedua pelakon Fauzi Nawawi meskipun pada awalnya Fareez sasarkan meraih tempat ketiga saja.

“Ini semua rezeki daripada Allah dan terima kasih kepada semua penyokong dan pengundi sehingga saya berjaya di tahap ini. Saya menyertai Mentor Milenia kerana mahu mengasah bakat nyanyian dan mencari rezeki untuk keluarga.

“Harapan saya agar semua orang di luar sana dapat menerima saya dengan hati terbuka. Saya lebih kepada genre pop sebab tahap suara tidak begitu tinggi dan akan terus berguru dengan Hazama untuk memantapkan lagi vokal sedia ada,” kata anak kelahiran Selangor ini.

Menurut Qody (Rossaidi Abdul Rani), 21, niat asalnya menyertai Mentor Milenia untuk mengubah kehidupan keluarga menjadi lebih baik.

“Sebelum menyertai program ini saya bekerja tidak tetap seperti berniaga ‘coconut shake’, baiki pendingin hawa dan ‘busking’ pada waktu malam bersama rakan. Saya tidak harap kemenangan semata-mata tetapi saya fikirkan hala tuju selepas program ini berakhir.

“Bermula titik inilah saya mahu ubah kehidupan keluarga. Saya memang boleh bawa semua genre lagu tapi lebih kepada rock. Namun saya akan mengikut perancangan Mentor Black apa yang terbaik buat diri saya.

“Saya harap semua orang dapat menerima bakat saya seadanya dan menilai dari telinga mereka sendiri, bukan fizikal semata-mata,” kata anak bongsu daripada empat beradik ini.

Lain pula bagi Wanie (Nurul Syazwanie Mohd Basri), 21, dia beranggapan perjuangan sebenar bukan dalam Mentor Milenia tetapi selepas ini di dalam industri hiburan tanah air.

“Saya sebenarnya memang nak bergelar juara dan sudah berjuang sebaik mungkin tetapi bukan rezeki saya. Walaupun nyanyian saya lebih kepada genre balada, saya akan lihat dulu pada permintaan orang ramai dan mengikut perancangan Mentor Black untuk lagu ‘single’ saya tak lama lagi,” kata anak kelahiran Selangor ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2016 @ 12:23 PM