ANTARA penyokong Qody yang sudah tiba di Kuala Lumpur. FOTO ihsan pembaca
ANTARA penyokong Qody yang sudah tiba di Kuala Lumpur. FOTO ihsan pembaca
Hamzah Osman


Langkawi: Seramai 250 penyokong Qody dari Pulau Tuba yang menaiki tujuh bas tiba di Kuala Lumpur bagi memberi sokongan kepada protege Black pada konsert akhir Mentor Milenia, malam ini.

Konsert akhir menampilkan tiga peserta iaitu Qody dan Wanie yang juga protege Black serta Fareez (Hazama) dan akan berlangsung di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada 9 malam.

Bapa Qody Abdul Rani Awang, 65, yang turut serta, berkata, penyokong pelbagai peringkat usia itu mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk memberi sokongan di Kuala Lumpur.

"Setiap kali Qody beraksi dalam konsert Mentor Milenia memang ada penduduk Pulau Tuba yang hadir untuk memberi sokongan tapi pada konsert akhir ini kehadiran paling ramai mencecah 250 orang.

"Kami bertolak ke Kuala Perlis menaiki feri 7 malam dari Langkawi, sebelum beramai-ramai menaiki bas yang disewa khas, 10 malam tadi dari Kuala Perlis ke Kuala Lumpur," katanya.

Katanya, harapan tinggi memang diletakkan kepada Qody yang juga anak bongsu daripada empat beradik untuk muncul juara, sekali gus membawa pulang trofi dan wang tunai sebanyak RM 100,000.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2016 @ 12:09 PM